Islam menyuruh kita belajar. Islam mahu seseorang Muslim itu, lelaki mahupun perempuan supaya menuntut ilmu. Tak boleh berhenti. Mencari ilmu bermula dari dalam buaian hinggalah ke liang lahad. Hendak dunia kena ada ilmu, hendak Akhirat pun kena ada ilmu. Tidak sama orang yang ada ilmu itu dengan orang yang tidak ada ilmu. Tuhan mengangkat orang yang ada ilmu itu beberapa darjat.Orang yang ada ilmu itu kekasih Tuhan. Orang yang jahil itu musuh dan seteru Tuhan.
Kalau begitulah kedudukan ilmu dalam Islam, kenapa pula ianya boleh jadi bahaya? Ini kerana ilmu itu ibarat pedang. Ilmu itu adalah senjata. Itu sebab Islam menyuruh kita mencari ilmu supaya kita mempunyai dan memiliki senjata. Tapi ada senjata sahaja tidak cukup. Kita kena tahu bagaimana cara hendak menggunakan senjata itu. Kalau tersalah guna, kita boleh membahayakan diri kita dan juga orang lain. Lebih-lebih lagilah kalau orang yang ada senjata itu orang jahat. Akan digunakan senjata Pedang tidak salah. Senjata tidak salah. Tetapi tuan punya pedang mungkin menyalahgunakannya. Di situlah letaknya bahaya ilmu. Bukan pada ilmunya tetapi pada pemiliknya. Seperti juga dalam angkatan tentera dan pasukan polis, bukan sahaja kemahiran mengguna senjata ditekankan pada anggotanya tetapi soal disiplin dan tata tertib juga sangat diambil berat. Ini untuk menjamin senjata api yang ada di tangan anggota tentera dan polis tidak disalahgunakan. Kalau digunakan, ianya khusus untuk menjaga keselamatan dan untuk menumpaskan musuh masyarakat dan musuh negara.
Begitu juga adalah sangat bahaya kalau orang yang ada ilmu itu tidak kenal Tuhan. Sebab orang yang tidak kenal Tuhan bukannya orang yang baik. Orang yang ada ilmu, walaupun ilmu agama atau ilmu Islam sekalipun, kalau dia tidak kenal Tuhan, dia akan menyalahgunakan ilmunya itu. Apabila Tuhan dia tidak kenal, dia akan melupakan Tuhan. Dia akan tinggalkan Tuhan. Akhirnya dia akan kehilangan Tuhan. Dia seolah-olah hidup tanpa Tuhan.
Apabila Tuhan yang hak sudah tidak wujud lagi dalam hidupnya, maka tuhan yang palsu akan mengambil alih. Dia akan menabalkan dirinya sendiri sebagai tuhan. Secara tepatnya, dia akan mengangkat nafsunya menjadi tuhan. Apa pun yang dia buat selepas itu adalah berpandukan kehendak dan kemahuan nafsunya semata-mata. Nafsunyalah yang menjadi tunggak dan pendorong utama dalam hidupnya. Kita tahu bahawa nafsu hanya berkehendak. Dia tidak kira halal atau haram. Hak atau batil. Dosa atau pahala.
Justeru itu, segala ilmu yang ada padanya, walaupun ilmu usuluddin, ilmu syariat, ilmu tasawuf, ilmu hadith, ilmu tafsir
dan sebagaiya, lebih-lebih lagilah ilmu yang berbentuk duniawi akan digunakannya hanya untuk memburu dunia. Ilmu itu akan digunakan untuk mendapat wang dan imbuhan, untuk mendapat pangkat dan jawatan, untuk glamour, untuk mendapat pujian dan populariti, untuk bermegah-megah, untuk mendapat pengaruh dan bermacam-macam lagi kepentingan yang berbentuk peribadi dan duniawi.
Ilmu bukan lagi untuk menghampirkan dirinya pada Tuhan. Bukan lagi untuk mengabdikan diri dan berbakti pada Tuhan. Bukan lagi untuk berlaku taat dan bertaqwa kepada Tuhan. Ilmu, termasuk ilmu agama dan ilmu Islam akan dijadikan modal untuk mencari nafkah dan sara hidup, untuk mengumpul harta dan kekayaan dan untuk dijual bagi mendapatkan keuntungan dunia yang sedikit.
Dengan itu, ilmu terutamanya ilmu agama dan ilmu Islam, mudah sahaja diselewengkan, disorok, disalahtafsir, diubah-suai, diringan-ringankan dan dipadankan mengikut kehendak pihakpihak tertentu demi untuk menentukan keuntungan duniawinya tidak terjejas. Ia tidak lagi dijadikan panduan atau petunjuk. Akhirnya masyarakat jadi rosak, agama jadi rosak, negara jadi rosak, manusia bertambah jauh dari Tuhan dan bertambah jahat. Orang yang ada ilmu terutama ilmu agama yang tidak kenal Tuhan ini dinamakan ulamak suk atau ulamak jahat. Rasulullah menyuruh kita lari daripada ulamak macam ini seperti mana kita lari dari harimau atau singa yang ganas. Mereka ini lebih bahaya
dari harimau dan singa.
Itulah sebabnya juga Islam sangat menekankan tentang “Awaluddin ma’rifatullah” atau “Awal-awal agama mengenal Allah”. Kalau Allah kita tidak kenal, maka segala apa yang ada pada kita termasuk ilmu, ibadah, usaha dan kebaikan kita tidak ada makna apa-apa. Kita tidak akan mampu berbuat sesuatu apa pun dan menggunakan apa yang ada pada diri kita untuk Tuhan. Kita akan jadi orang yang hanya menggunakan ilmu dan apa sahaja yang ada pada diri kita mengikut kehendak hawa nafsu kita sahaja.
Salam Alaikum
BismillÃh HirRohmaanir Rohimm
Kata Hikmah AM
~~~... aku BERANI kerana BENAR, lalu aku tidak GENTAR. aku bukan JEBAT, dan aku bukanlah juga TUAH. tetapi, aku adalah hamba doif yang bergelar KHALIFAH di muka bumi ALLAH ...~~~
biar orang hina diri kita tapi jangan kita hina diri sendiri, biar orang lukakan hati kita, jangan kita sesekali melukai diri sendiri, kita berhak atas diri kita sesungguhnya air mata itu adalah penyampai perasaan dan luahan jiwa..
yA AllAh, ApAbIlA ENGKAU mEmAnggIlkU, AmbIlAh AkU dAlAm kEAdAAn KhUsnUl KhOtImAh dAn sEmpAtkAnlAh AkU mEngUcApkAn kAlImAt "LA ILAHA ILLALLAH"
Ahli Jemaah
Network Blogger
Demi Masa
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Dan Penyayang
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
Segala hakcipta milik Allah S.W.T. Jika difikirkan perlu copy dan sebar, silakan. Tak perlu minta izin.
There’s No Copyright In Islam
No comments:
Post a Comment