Marilah kita gunakan kesempatan pada hari ini untuk mempertingkatkan lagi keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. dengan mengerjakan segala perintah-Nya dengan penuh ketaatan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan hidup kita diberkati dan dirahmati Allah s.w.t. di dunia dan di akhirat .
Melakukan kebaikan kepada ibu bapa merupakan suatu perintah dari Allah s.w.t. kepada setiap Muslim. sebagai seorang anak kita diingatkan agar melakukan kebaikan kepada kedua ibu bapa. Disamping itu, kita hendaklah tahu menghargai budi dan jasa yang dicurahkan mereka siang dan malam demi melihat anak-anak dalam keadaan baik dan berjaya dalam hidup tanpa mengharapkan apa-apa balasan.
Di dalam Al-Quran s.w.t. dengan tegas menjelaskan peranan dan tanggungjawab anak terhadap kedua ibu bapa. Dimana Allah s.w.t. menyuruh agar anak-anak sentiasa taat dan patuh kepada ibu bapa dengan sentiasa berbuat baik kepada keduanya dan apabila berbicara dengan mereka hendaklah dengan menggunakan bahasa yang lembut. Sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah al- Isra’ ayat : 23
Yang bermaksud : " dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau keduan-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tatapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia ( yang bersopan santun )".
Pengorbanan seorang wanita yang bergelar ibu tidak boleh dinilai dengan wang ringgit atau harta benda. segala kesusahan sewaktu hamil dan penderitaan serta kesakitan yang dialami disaat melahirkan anak adalah sesuatu yang sukar digambarkan, tatapi dengan tiba-tiba boleh bertukar dengan kegembiraan apabila mendengar tangisan pertama anaknya sebaik sahaja dilahirkan ke dunia ini.
Maka apakah memadai jasa dan pengorbanan seorang ibu itu dihayati dan dikenang tatkala menyambut hari ibu ? sudah tentu tidak, kerana sikap seumpama ini tidak mengambarkan kasih sayang sepanjang hayat, ia hanya sebagai budaya sekali setahun. Walau bagaimanapun hari ibu yang disambut pada 10 MEI setiap tahun tidaklah bermakna ia harus dibiarkan berlalu tanpa pengisian yang bermakna. Sebagai anak, kita sememangnya dituntut untuk mengenang jasa dan pengorbanan ibu yang telah menyusu, mengasuh dan memelihara kita dengan penuh kasih sayang. Sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah al-Ahqaf ayat 15 :
Yang bermaksud : " dan kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapa, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan susah payah. sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya".
Justeru itu, hari ibu yang kita sambut sawajarnya dimanfaatkan sebaik mungkin dan dinilai sejauhmana kita mensyukuri serta menghargai pengorbanan ibu kita dalam melaksanakan tanggungjawab dan peranan sebagai ibu. Dengan demikian akan menambah dan mengeratkan lagi hubungan kasih sayang, melahirkan rasa hormat yang sedalam-dalamnya serta berterima kasih.
Menghormati ibu, bererti kita sentiasa menjaga hati dan perasaan mereka supaya tidak tersinggung ataupun disakiti. Dengan kata lain, segala suruhan dan larangan ibu mestilah dipatuhi dan sama sekali tidak boleh dikhianati. Bagi sesiapa yang tidak menghormati ibunya ataupun mengkhianati (mengingkari) tunjuk tunjuk ajar yang baik, maka dia (anak tersebut) dianggap telah mendurhaka. Dan bagi mereka yang durhaka kepada ibunya pasti menghadapi pelbagai kesulitan hidup sewaktu di dunia dan juga di akhirat. Selain itu, mendurhaka kedua ibu bapa bererti telah mendurhaka kepada Allah s.w.t. Sabda Rasulullah s.a.w. :
" عَنْ عَبْدِ الله بن عَمْرُو بن العاص رضي الله عنهما عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: رِضَا الله في رِضَا الْوَالِدَيْنِ وَسَخْطُ اللهِ في سَخْطِ الْوَالِدَيْنِ.
(رواه الترمذي)
Yang bermaksud : " Dari Abdullah ban Amru r.a. telah bersabda Rasulullah s.a.w. : Keredhaan Allah daripada keredhaan ibu bapa dan kemurkaan Allah daripada kemurkaan ibu bapa " .
Ambillah kesempatan ini untuk sama-sama merenung dan melakukan muhasabah diri. Apakah yang telah kita lakukan untuk keluarga kita, khususnya mendidik dan mengajar anak-anak agar mereka sentiasa tunduk dan patuh terhadap ajaran Islam sepanjang masa. Apakah yang kita lakukan sebagai anak kepada kedua ibubapa kita
Kita sering dikhabarkan dan digemparkan dengan pelbagai masalah sosial terutama keruntuhan akhlak di kalangan remaja yang sering berlaku dalam masyarakat kita. Gejala yang membimbangkan ini dikaitkan dengan kerapuhan dan kelemahan institusi keluarga. Maka keadaan ini perlu diubah dan diatasi segera demi kebaikan sesebuah keluarga dan seterusnya memberi sumbangan kepada negara.
Islam mengajar agar keluarga dan rumahtangga menjadi sebuah institusi yang aman dan bahagia bagi seluruh ahli keluarga. Maka ibu bapa adalah orang pertama yang diharapkan dapat memberi bimbingan dan tunjuk ajar yang betul kepada anak-anak terutama dalam menyelesaikan masalah anak-anak. Dalam hal ini, Al-Quran dengan jelas memberi panduan kepada ibu bapa, bagaimana memberi perhatian dan didikan yang sempurna kepada anak-anak seperti yang digambarkan dalam surah Lukman ayat :13 dimana Allah s.w.t. memuji dan menceritakan didikan yang diberikan oleh Lukman kepada anaknya dengan firman-Nya yang berbunyi :
Yang bermaksud : " dan ( ingatlah ! ) tatkala Lukman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku janganlah engkau mempersekutukan Allah ( dengan sesuatu yang lain ) sesungguhnya perbuatan syarik itu adalah satu kezaliman yang besar ! " .
Usaha meraikan sambutan seperti Hari Ibu atau Hari Bapa perlu diselarikan dengan kehendak syara’ agar ianya memberi kesan yang baik kepada diri dan keluarga terutama sebagai satu usaha mendidik dan memperkasakan lagi sesebuah keluarga menjadi keluarga yang harmoni dan bahagia serta diredhai s.w.t. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa memberi perhatian kepada beberapa perkara diantaranya :
Pertama : Memberi Keutamaan Kepada Asas Pembinaan Keluaga.
Sesebuah keluarga tidak mungkin bahagia jika dibina tanpa asas akidah yang kukuh dan keimanan yang mantap terhadap Allah s.w.t. Maka atas sebab inilah Agama Islam melarang keras umatnya samada lelaki mahupun wanita berkahwin dengan orang yang bukan beragama Islam .
Kedua : Memahami Setiap Tanggungjawab dan Amanah.
Setiap ibu bapa hendaklah faham dan mengetahui tanggungjawab dan peranan masing-masing terutama dalam memberi perhatian dan didikan untuk anak-anak dengan betul menurut kehendak ajaran Islam .
Ketiga : Mengakui dan Bersedia Menerima Kejadian Diri.
Setiap pasangan hendaklah akur dengan perintah Allah s.w.t. yang telah menetapkan bahawa suami ( kaum lelaki ) adalah sebagai ketua bagi sesebuah keluarga. Oleh itu, suami hendaklah menerima amanah ini dengan penuh tanggungjawab, sementara isteri hendaklah taat dan menghormati suami.
Keempat : Ibu bapa menjadi Contoh Terbaik.
Hendaklah sentiasa mendidik dan menanam didalam diri anak-anak sifat taat dan patuh kepada kedua ibu bapa serta sentiasa memberi tunjuk ajar dan contoh teladan yang baik kepada anak-anak .
Kelima : Memupuk Kasih Sayang Yang Berpanjangan.
Hendaklah sentiasa menjaga dan mengeratkan hubungan silaturrahim di kalangan anggota keluarga dengan memastikan suasana sentiasa ceria, mesra, saling hormat menghormati dan selamat.
Maksudnya : " dan juga mereka ( yang diredhai Allah itu ialah orang-orang ) yang berdoa dengan berkata : " wahai tuhan kami ! berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang mahu bertakwa ".
No comments:
Post a Comment