Sidang
Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri
saya dan sidang Muslimin sekalian, supaya kita sentiasa
mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT dalam erti kata
yang sebenarnya, iaitu dengan melaksanakan segala suruhan Allah dan
Rasul-Nya, dan meninggalkan segala bentuk tegahan dan larangannya.
Semoga kita memperolehi kejayaan hidup di dunia dan juga di akhirat.
Sesungguhnya, hanya orang-orang bertaqwa sahaja yang akan mendapat perlindungan Allah SWT semasa di Padang Mahsyar kelak.
Sidang
Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Khutbah hari ini adalah
bersesuaian dengan tajuk “Guru Mukmin Pemangkin
Generasi Bertaqwa”.
Kehidupan umat Islam pada
masa kini, dipenuhi dengan berbagai bentuk cabaran memerlukan
usaha yang bersungguh-sungguh setiap anggota masyarakat dalam mendidik generasi muda. Pendidikan bermula dalam buaian hingga ke
liang lahad. Ketika masih kecil ibu bapalah yang bertanggung jawab memberi
pendidikan di rumah dan tugas tersebut dimantapkan oleh guru-guru
sebaik sahaja kanak kanak tersebut menjejakkan kaki ke
sekolah. Dahulu!; tugas mendidik anak-anak ini merupakan tugas yang amat besar dan penting serta memerlukan kemahiran yang sesuai dengan perkembangan mereka.
Sidang
Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Jika kita membuat
perbandingan dengan zaman dahulu, tugas mendidik anak-anak
merupakan tanggungjawab ibubapa dan mereka dibantu oleh masyarakat
sekitarnya. Peranan masyarakat pada masa itu sangat penting kerana mereka saling bantu-membantu antara satu dengan yang lain. Namun,
hakikat yang berlaku pada masa kini amat berbeza. Penglibatan ibu
bapa dan masyarakat semakin berkurangan dalam mendidik anak-anak.
Malah, tugas yang penting ini ini kelihatannya hampir diserahkan
sepenuhnya kepada guru-guru di sekolah. Kesibukan sebahagian ibu bapa
mencari rezeki menyebabkan ada di antara mereka seolah-olah menyerahkan
sepenuhnya pendidikan anak anak mereka kepada pihak sekolah.
Keadaan ini menjadikan
tugas guru menjadi semakin penting kepada pembangunan diri anak-anak kita.
Bermula daripada seawal jam 7.00 pagi sehinggalah 7.00
petang, yang mana anak-anak kita akan bersama dengan guru-guru mereka melakukan berbagai aktiviti di sekolah. Kajian terbaru yang
dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Bahagian
Pendidikan Islam di Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 2012 menunjukkan bahawa pengaruh guru-guru pendidikan Islam lebih kuat
berbanding dengan pengaruh ibu bapa dalam aspek penghayatan akhlak
pelajar-pelajar.
Sidang
Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Tugas guru dalam Islam adalah
amat penting dan tidak boleh dipisahkan dengan tugas
sebagai seorang pendakwah. Terdapat berbagai istilah yang dikaitkan dengan pendidik di dalam Islam yang dibincangkan oleh pakar-pakar
pendidikan dalam Islam. Istilah ”muallim”, ”Muddaris”, ”muaddib”, ”mursyid”
dan ”murabbi” yang kesemuanya itu merujuk kepada peranan dan
penglibatan guru terhadap usaha-usaha membentuk para pelajar. Istilah-istilah tersebut bukan sahaja sekadar guru sebagai penyampai ilmu tetapi
guru-guru yang cemerlang akan memberikan sepenuh kasih sayang
kepada anak-anak murid mereka sebagaimana mereka menyayangi anak mereka sendiri.
Sidang
Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Kehidupan umat Islam di
dunia yang serba moden ini telah menyebabkan umat Islam
semakin tercabar dengan pelbagai aspek kehidupan. Aspek akidah
yang menjadi teras pegangan umat Islam juga terancam dengan wujudnya
berbagai fahaman yang menyeleweng daripada ajaran Islam
sebenar. Oleh itu, pendidikan merupakan kaedah yang terbaik dalam
membendung masalah yang dihadapi oleh masyarakat pada masa kini. Pendidikan
dalam Islam bertujuan untuk membangunkan manusia menjadi insan yang
beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT. Pendidikan yang sempurna
akan terhasil jika manusia yang dididik mempunyai akhlak yang
terpuji dan patuh kepada segala perintah Allah SWT. Ini memerlukan kepada
satu sistem pendidikan berlandaskan kepada akidah Islamiah.
Dalam pelaksanaan
pendidikan di sekolah, peranan semua guru adalah amat penting.
Guru-guru yang mempunyai kesungguhan dan mempunyai keimanan tinggi
akan dapat mendidik generasi Islam yang menghayati ajaran Islam
yang sebenar.
Firman Allah SWT dalam
surah al-An’am ayat 102:
“Yang demikian itu ialah Allah Tuhan kamu,
tiada Tuhan (yang berhak
disembah) melainkan Dia yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, maka
beribadahlah kamu kepada-Nya. Dan (ingatlah) bahawa Dialah yang memelihara
segala sesuatu”.
Maka, matlamat untuk
melahirkan generasi bertakwa adalah satu tugas utama yang perlu
dilaksanakan oleh setiap pendidik. Tugas guru adalah penting kepada
anak-anak kita kerana mereka bukan sahaja memberikan ilmu pengetahuan, tetapi yang lebih utama mendidik dan membentuk akhlak mereka.
Ketaqwaan kepada Allah serta akhlak yang baik adalah perkara yang
penting untuk menjamin kehidupan manusia di dunia dan akhirat dan inilah yang akan menjadi pertimbangan ketika di akhirat sebagaimana sabda
Rasulallah s.a.w.:
“Ada pun yang paling berat timbangan diatas
neraca timbangan pada hari
kiamat ialah taqwa kepada Allah SWT dan akhlak yang baik”.
(Riwayat
Abu Daud dan At-Tirmidzi)
Sidang
Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Di zaman globalisasi ini,
dunia pendidikan semakin mencabar. Anakanak kita mudah terdedah dengan
berbagai bentuk cabaran yang datang daripada berbagai arah. Penyalahangunaan teknologi maklumat, laman sosial, masalah ponteng,
buli, zina, arak dan dadah telah mula berleluasa dikalangan pelajar
sekolah. Budaya hiburan yang melampau pada masa ini juga dilihat menjadi
satu ancaman besar kepada generasi muda. Budaya hiburan negatif
yang dipromosikan melalui media cetak dan elektronik terkini telah
mencapai ke tahap yang membimbangkan. Labakan filem-filem dan
berita-berita yang bercanggah dengan Islam telah menguasai minda masyarakat
hari ini. Oleh itu, dakwah yang berterusan bagi mencegah, mengawal
serta penguatkuasaan undang undang perlu dilaksanakan dengan
bersungguh-sungguh.
Tugas guru di sekolah
tidak akan berjaya jika ibubapa dan masyarakat tidak membantu
mereka semasa di luar sekolah. Tugas dakwah ini perlu
dilaksanakan dengan penuh hikmah dan bijaksana agar matlamat dakwah yang dicita-citakan akan tercapai.
Sehubungan itu, dalam
mencapai tujuan mendidik generasi muda, kita hendaklah lebih
bijaksana dalam menyampaikan kebaikan kepada mereka. Konsep pendidikan
yang bersepadu sebagaimana yang dinyatakan di atas boleh dilaksanakan dengan kerjasama daripada semua pihak seperti berikut:
Pertama : Ibubapa
hendaklah memberikan kasih sayang dan sokongan kepada semua
aktiviti pendidikan yang dirancang oleh pihak
sekolah. Mereka perlu membantu mengukuhkan pengajaran
pendidikan Islam di rumah dan memantau amalan fardu
`ain anak-anak mereka.
Kedua : Masyarakat juga
perlu memberikan sokongan dan dorongan kepada aktiviti
di sekolah seperti mengadakan gotong royong, program
sempena hari kebesaran Islam seperti forum, ceramah dan
kursus bersama-sama dengan pihak sekolah.
Ketiga : Institusi agama
yang berhampiran seperti masjid dan surau perlu memberikan
ruang kepada pihak sekolah untuk mengadakan aktiviti
dakwah.
Keempat : Pihak berkuasa
hendaklah membantu guru-guru dan sekolah dalam memantau
aktiviti-aktiviti yang negatif berlaku diluar sekolah.
Sidang
Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Sebagai rumusannya, dengan
berkat kesabaran dan kesungguhan guru-guru, maka ramai ahli
masyarakat kini telah berjaya dalam bidang kerjaya hidup mereka
seperti menjadi ulama, pendidik, pensyarah, guru, doktor, jurutera, usahawan, peguam dan petani yang berjaya. Malah, dalam membicarakan tugas
guru yang mulia ini, sebagai ahli masyarakat yang mahu melihat generasi
muda menjadi generasi yang bertaqwa, kita perlu memberikan segala sokongan kepada guru-guru yang berkhidmat mendidik anak-anak kita.
Jika guru telah banyak berkorban masa, tenaga, wang ringgit mereka kepada
anak-anak didiknya, maka kita perlu bersama-sama mendokong
usaha murni mereka. Semoga anak-anak yang mereka dididik ini
akan menjadi generasi yang bertakwa dan seterusnya menjadi manusia
memberikan sumbangan yang amat bermakna kepada agama dan
ummah. Harapan kita agar anak-anak yang dididik guru-guru ini akan
menjadi manusia yang sentiasa taat dan patuh kepada Allah SWT.
“Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri
kamu dan keluarga kamu
daripada api neraka yang bahan-bahan bakarannya ialah manusia dan batu
(berhala). Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang
keras kasar (layanannya). Mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkannya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang
diperintahkan”.
Teks Lengkap Boleh dimuat turun DISINI