Salam Alaikum

BismillÃh HirRohmaanir Rohimm

Kata Hikmah AM

~~~... aku BERANI kerana BENAR, lalu aku tidak GENTAR. aku bukan JEBAT, dan aku bukanlah juga TUAH. tetapi, aku adalah hamba doif yang bergelar KHALIFAH di muka bumi ALLAH ...~~~


biar orang hina diri kita tapi jangan kita hina diri sendiri, biar orang lukakan hati kita, jangan kita sesekali melukai diri sendiri, kita berhak atas diri kita sesungguhnya air mata itu adalah penyampai perasaan dan luahan jiwa..

yA AllAh, ApAbIlA ENGKAU mEmAnggIlkU, AmbIlAh AkU dAlAm kEAdAAn KhUsnUl KhOtImAh dAn sEmpAtkAnlAh AkU mEngUcApkAn kAlImAt "LA ILAHA ILLALLAH"

Ahli Jemaah

Network Blogger

Demi Masa

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Dan Penyayang

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Segala hakcipta milik Allah S.W.T. Jika difikirkan perlu copy dan sebar, silakan. Tak perlu minta izin.

There’s No Copyright In Islam

Tuesday, February 15, 2011

Bebaskan Dirimu Daripada Assobiyah

Posting kali ini ditulis bukan bertujuan menyerang mana-mana pihak. Saya rasa ianya penting kerana larangan mengenainya tersebut dalam Quran dan hadis serta sikap assobiyah semakin berluasa termasuk di Malaysia. Tujuannya mengingatkan diri sendiri dan masyarakat sekeliling.

ASSOBIYAH MENURUT AL-QURAN

Assobiyah merujuk kepada sikap fanatik kepada sesuatu puak atau bangsa secara melampau sehingga menjangkau batasan pemikiran yang waras dan batasan agama. Sikap fanatik kepada bangsa atau puak yang merupakan fitrah semulajadi manusia sebenarnya sudah wujud bersama kewujudan manusia di bumi ini. Sebelum kedatangan Islam, umat manusia berada di dalam keadaan berpecah-belah dan hanya terikat di antara mereka dengan semangat kesukuan, kepuakan atau assobiyah. Perkauman itu pula terbahagi kepada beberapa fahaman etnik, puak dan juga kabilah seperti Aus dan Khazraj di Madinah, Bani ‘Adnan dan Bani Qahtan di Semenanjung Tanah Arab, golongan Asyuriyyin di Iraq dan Lubnan dan bangsa Barbar di Maghribi.

Di contoh yang dibawa oleh al-Quran tentang sikap Assobiyah ini ialah;

Apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia”. (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat (Al-Baqarah[2:200])

Apabila Islam muncul, keadaan itu mulai berubah apabila semua umat manusia dari suku, etnik dan kabilah yang berbeza diseru supaya meninggalkan fahaman assobiyah dan bersatu membentuk satu umat. Sebagaimana firman Allah;

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya agama Islam ini ialah agama kamu iaitu agama yang mempunyai satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka bertaqwalah kamu kepada-Ku.”(al-Mu’minun[23:52])

Juga Firman-Nya lagi;

“Dan berpeganglah kamu semuanya dengan tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dulu (pada masa jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu jadilah kamu kerana nikmat Allah orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.”(Ali-‘Imran[3:103])

Islam telah berjaya mengubah sikap taksub bangsa dan perkauman kepada kesatuan umat yang terbaik sebagaimana Firman Allah:

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik. (Ali ‘Imran[3:110])

Islam juga menetapkan bahawa lambang kemuliaan bukan terletak kepada keturunan atau bangsa akan tetapi bergantung kepada tahap taqwa yang dimiliki. Penetapan ini ternyata amat adil kerana ianya berkemungkinan dimiliki oleh sesiapa sahaja. Berbanding dengan bangsa atau keturunan, mana-mana orang yang lahir dengan bangsa tertentu tidak akan dapat menukar keturunan atau bangsa menjadi bangsa yang mulia pada anggapan sesetengah manusia seperti tradisi agama Hindhu yang berkasta. Firman Allah;

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).(al-Hujurat[49.13])

Di dalam Islam, persaudaraan itu diikat dengan iman dan takwa sebagaimana Firman Allah;

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.(al-Hujurat[49.10])

Bahkan di dalam banyak keadaan, al-Quran lebih mengiktiraf persaudaraan agama berbanding persaudaraan keluarga sekiranya persaudaraan keluarga bakal mengancam survival iman dan keserjahteraan Islam. Ini dapat dilihat pada Friman-firman Allah ini;

Oleh itu, jika mereka bertaubat (dari kekufuran), dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka mereka itu adalah saudara kamu yang seugama; dan Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui. (al-Tawbah[9.11])

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan bapa-bapa kamu dan saudara-saudara kamu sebagai orang-orang yang didampingi jika mereka memilih kufur dengan meninggalkan iman; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka orang-orang yang didampingi, maka merekalah orang-orang yang zalim. (al-Tawbah[9.23])

Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku sendiri, dan bahawa janjiMu itu adalah benar, dan Engkau adalah sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya”. Allah berfirman:

Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil”. (Hud [11:45-46])

Mendengarkan yang demikian tetamunya berkata: “Wahai Lut! Sesungguhnya kami (adalah malaikat) utusan Tuhanmu. Kaum engkau yang jahat itu tidak sekali-kali akan dapat melakukan kepadamu (sebarang bencana). Oleh itu, pergilah berundur dari sini bersama-sama dengan keluargamu pada tengah malam, dan janganlah seorangpun di antara kamu menoleh ke belakang. Kecuali isterimu, sesungguhnya ia akan ditimpa azab yang akan menimpa mereka (kerana ia memihak kepada mereka). Sesungguhnya masa yang dijanjikan untuk menimpakan azab kepada mereka ialah waktu subuh; bukankah waktu subuh itu sudah dekat?” (Hud[11:81])

Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Merekalah penyokong-penyokong (ugama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (ugama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya. (al-Mujadalah[58:22]).

Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati); dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): “Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (ke situ)”.(al-Tahrim[66.10])

Oleh itu, semasa sampai ke Madinah, baginda Rasulullah telah mempersaudarakan di antara orang-orang Muhajirin dan Ansar untuk mengikis semangat assobiyah yang sememangnya tebal di kalangan orang-orang Arab Jahiliah.

Rasulullah juga bersabda; Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada bentuk rupa kamu atau harta kamu, akan tetapi Dia melihat kepada hati-hati kamu juga amalan-amalan kamu (Sahih Muslim)

Langkah menyatukan umat Islam dan orang bukan Islam juga dapat dilihat berdasarkan penyusunan piagam Madinah yang meletakkan tanggungjawab menjaga Madinah kepada semua penduduknya.

BAHAYA ASSOBIYAH

1. Memecahbelahkan kesatuan umat Islam dengan kewujudan sempadan negara. Usaha pemecahan sempadan negara-negara umat Islam yang telah dilakukan pihak penjajah telah melahirkan generasi yang fanatik dengan negara sendiri dan mengabaikan kebajikan umat Islam yang tertindas. Fenomenan ini dapat dilihat di dalam krisis kemanusiaan di Palestin.

2. Kemunculan hadith-hadith palsu. Pihak yang fanatik dengan bangsa atau puak mereka akan berusaha untuk mereka hadith palsu menguatkan kumpulan mereka. Fenomena ini mulai berleluasa sebaik sahaja terjadinya fitnah di akhir masa khalifah Uthman di mana umat Islam pada waktu itu telah berpecah menjadi beberapa golongan seperti Syiah, Khawarij dan sebagainya. Selain itu sikap fanatik kepada mazhab juga mendorong mereka mencipta hadith palsu seperti hadith;

a) Akan ada seorang lelaki pada ummatku berna Abu Hanifah al-Nu’man bin Thabit, dialah pelita ummatku, Akan ada seorang lelaki pada ummatku bernama Muhammad bin Idris, dia lebih merbahaya atas ummatku dari iblis.(pengikut mazhab Hanafi)

b) Barangsiapa ingin melihat kepada Adam tentang ketinggian ilmunya dan kepada Nuh tentang takwanya dan baktinya dan kepada Ibrahim tentang kebaikan hatinya, dan kepada Musa tentang kehebatannya kepada Isa tentang ibadatnya maka hendaklah ia lihat kepada Ali (golongan Syiah).

3. Boleh menumpahkan darah umat Islam sebagaimana peristiwa perselisihan di antara orang-orang Ansar yang dihasut oleh Syasy bin Qays al-Yahudi tentang permusuhan suku Aws dan Khazraj di dalam peperangan Buath. Hasutan itu membawa kepada penurunanan ayat Ali ‘Imran [3:99-103].

4. Menyebabkan kejumudan pemikiran sebagaimana Firman Allah;

Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. (al-Nisa’[4.135])

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan (al-Ma’idah[5:8]).

5. Boleh menjebakkan pelakunya kepada budaya jahiliah sebagaimana sabda nabi s.a.w;

“ Barangsiapa yang berjuang di bawah panji-panji emosi, menjadi marah karena sikap berat sebelah (assobiyah), atau menyeru ke arah assobiyah, atau mendukungnya dan kemudian meninggal, maka dia mati dalam keadaan jahiliyyah.” (Sahih Muslim)

Bukan daripada golongan kami sesiapa yang menyeru kepada assobiyah, dan bukan daripada golongan kami sesiapa yang berjuang di atas panji assobiyah, dan bukan daripada golongan kami sesiapa yang mati di atas assobiyah (Sunan Abu Dawud).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...