Apabila seseorang yang tidak beriman, bersama-sama menyatakan kegembiraan dan menyambut Maulidurrasul (s.a.w), atas rahmat dan kemurahan Allah, orang itu akan dapat manfaatnya. Perkara ini ada dinyatakan didalam sahih Bukhari. Bukhari meriwayatkan bahawa setiap Isnin, Abu Lahab akan dihentikan siksaan kubur yang diterimanya kerana beliau telah membebaskan hambanya, Thuwayba yang telah mengkhabarkannya kelahiran anak saudaranya, Nabi Muhammad (s.a.w).
Hadith ini terkandung didalam kitab Nikah oleh Bukhari dan Ibnu Kathir pula membicarakannya didalam kitab-kitabnya Sirat al-Nabi Jilid 1: ms 124, Mawlid al-Nabi ms 21 dan al-Bidaya ms.272-273. Seorang hafiz (hafal al-Quran), Shamsuddin Muhammad ibn Nasiruddin ad-Dimashqi telah menulis didalam kitabnya Mawrid as-sadi fi Mawlid al-Hadi : "Jika seorang kafir yang memang dijanjikan tempatnya di neraka dan kekal didalamnya" "hancur tangan-tangannya"; (surat 111) diizinkan untuk direhatkan daripada siksa kubur setiap hari Isnin kerana bergembira dengan kelahiran Ahmad, inikan pula hamba yang seluruh hidupnya bergembira dan bersyukur dengan kehadiran Ahmad dan meninggal dengan menyebut "Ahad"? - [tentu lebih lagi ganjarannya - penterjemah]
Kewajipan Mengetahui Sirah dan Mencontohi Asas-asas Akhlaq Yang Baik
Kita disuruh untuk mengenali Nabi kita, tahu akan kehidupan baginda, mengenai mukjizat baginda, kelahirannya , akhlaqnya, keimanan baginda, tanda-tanda kenabian beliau (ayat wa dala'il), khalwat yang baginda lalui, ibadah baginda lagipun bukankah perkara-perkara ini sepatutnya diketahui oleh setiap Muslim? Apakah cara yang lebih baik lagi selain daripada meraikan hari kelahiran baginda, iaitu hari permulaan kehidupan baginda, dan seterunya supaya kita terdorong untuk mengenali baginda dengan lebih mendalam lagi. Memperingati hari kelahiran baginda akan membuka ruang bagi kita untuk memperingati perkara-perkara lain yang berkaitan dengan baginda. Apabila ini kita lakukan, Allah akan redha pada kita, kerana kita akan lebih bersedia untuk mengetahui sirah baginda dan lebih bersedia untuk mencontohi dan mengamalkan akhlaq baginda dan memperbetulkan kesilapan kita. Itulah sebabnya, kenapa sambutan hari lahir baginda merupakan satu rahmat buat kita semua.
Nabi Menerima Syair/Sajak Yang Berkaitan dengan Diri Baginda
Pada zaman Nabi (s.a.w), terdapat ramai penyair yang terkenal dan hebat datang kepada baginda dan mempersembahkan kepada baginda rangkap-rangkap syair mereka yang memuji baginda, menceritakan mengenai dakwah dan peperangan yang baginda pimpin dan juga syair mengenai para sahabat. Ini dibuktikan dengan banyaknya syair yang disertakan di dalam Sirah Ibnu Hisham, al-Waqidi dan lain-lain. Rasulullah (s.a.w) amat menyenangi syair yang indah seperti yang tercatat didalam hadith riwayat Bukhari didalam al-Adab al-mufrad dan kitab-kitab lain, Rasulullah (s.a.w) bersabda,"Terdapat hikmah di dalam syair"; dan kerana itu bapa saudara Nabi (s.a.w) al-'Abbas mengarang syair memuji kelahiran Nabi (s.a.w) seperti didalam rangkap berikut:
Dikala dikau dilahirkan, bumi bersinar terang hinggakan nyaris-nyaris pasak-pasak bumi tidak mampu untuk menanggung cahayamu dan kami dapat terus melangkah lantaran kerana sinar dan cahaya dan jalan yang terpimpin [ bahasa mungkin tidak menepati kehendak penulis asal - penterjemah]
Petikan ini tercatat didalam kitab Imam as-Suyuti, Husn al - Maqsid ms.5 dan didalam kitab Ibnu Kathir, Maulid ms.30 dan juga didalam kitab Ibnu Hajar, Fath al-Bari.
Ibnu Kathir menerangkan didalam kitabnya bahawa para Sahabat ada meriwayatkan bahawa Nabi (s.a.w) memuji nama baginda dan membaca syair mengenai diri baginda semasa peperangan Hunayn untuk membakar semangat para Sahabat dan menakutkan para musuh. Pada hari itu baginda berkata,"Aku adalah Rasulullah! Ini bukanlah dusta. Aku anak 'Abd al - Muttalib!"
Rasulullah (s.a.w) sebenarnya amat bergembira dan menyenangi mereka yang memuji baginda kerana ianya merupakan perintah Allah dan baginda memberi kepada mereka apa yang Allah anugerahkan kepada baginda. Apabila kita bersama-sama berkumpul untuk mendekati Nabi (s.a.w), kita sebenarnya juga, melakukan sesuatu untuk mendekatkan diri kita kepada Allah justeru kerana mendekati Nabi (s.a.w) akan membuatkan Allah redha kepada kita.
Menyanyi dan Membaca Syair
Telah diketahui, menurut riwayat 'A'isha bahawa Nabi (s.a.w), telah membenarkan beliau untuk mengundang dua orang perempuan untuk menyanyi pada hari Raya. Baginda memberitahu Abu Bakr,"Biarkan mereka menyanyi kerana untuk setiap ummat ada hari cutinya dan ini adalah hari cuti kita" [Muttafaqun 'alaih]. Didalam kitab Madarij al-salikin, Ibnu Qayyim menulis bahawa Nabi (s.a.w) memberi izin untuk menyanyi pada hari perkahwinan dan membenarkan syair dipersembahkan untuk baginda. Baginda mendengar Anas dan para Sahabat memuji baginda dan membaca syair ketika baginda sedang menggali parit semasa peperangan Khandaq dan mereka pernah berkata," Kamilah yang telah memberi bai'ah kepada Muhammad untuk berjihad selama kami hidup."
Ibnu Qayyim juga telah menceritakan mengenai 'Abdullah ibnu Rawaha telah membaca syair yang panjang memuji-muji Nabi Muhammad (s.a.w) semasa baginda menakluki dan memasuki Makkah, dan Nabi pun berdoa untuk beliau. Rasulullah (s.a.w) juga pernah mendoakan untuk Hassan ibnu Thabit agar Allah sentiasa memberi bantuan kepada beliau dengan ruh suci (the holy spirit) selama mana beliau memuji-muji baginda melalui syairnya. Nabi juga telah menghadiahkan Ka'b ibnu Zuhayr sepasang jubah apabila beliau membacakan syair memuji-muji baginda kepada baginda. Nabi juga pernah meminta Aswad bin Sarih untuk mengarang syair memuji-muji Allah dan baginda pula pernah meminta seseorang untuk membaca syair puji-pujian yang mengandungi 100 rangkap yang dikarang oleh Umayya ibnu Abi Halh. Menurut Ibnu Qayyim lagi, 'A'isha selalu membaca syair memuji baginda (s.a.w) dan beliau amat menyenanginya."
Tertera di batu nisan Hassan ibnu Thabit beliau menulis mengenai Nabi (s.a.w):
Bagiku tiada siapa dapat mencari kesalahan didalam diriku Aku hanya seorang yang telah hilang segala deria rasa Aku tidak akan berhenti daripada memuji nya Kerana hanya dengan itu mungkin aku akan kekal didalam syurga Bersama-sama 'Yang Terpilih' yang daripadanya aku mengharapkan syafaat Dan untuk hari itu, aku kerahkan seluruh tenagaku kearah itu.
No comments:
Post a Comment