Salam Alaikum

BismillÃh HirRohmaanir Rohimm

Kata Hikmah AM

~~~... aku BERANI kerana BENAR, lalu aku tidak GENTAR. aku bukan JEBAT, dan aku bukanlah juga TUAH. tetapi, aku adalah hamba doif yang bergelar KHALIFAH di muka bumi ALLAH ...~~~


biar orang hina diri kita tapi jangan kita hina diri sendiri, biar orang lukakan hati kita, jangan kita sesekali melukai diri sendiri, kita berhak atas diri kita sesungguhnya air mata itu adalah penyampai perasaan dan luahan jiwa..

yA AllAh, ApAbIlA ENGKAU mEmAnggIlkU, AmbIlAh AkU dAlAm kEAdAAn KhUsnUl KhOtImAh dAn sEmpAtkAnlAh AkU mEngUcApkAn kAlImAt "LA ILAHA ILLALLAH"

Ahli Jemaah

Network Blogger

Demi Masa

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Dan Penyayang

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Segala hakcipta milik Allah S.W.T. Jika difikirkan perlu copy dan sebar, silakan. Tak perlu minta izin.

There’s No Copyright In Islam

Saturday, April 17, 2010

Pemupukan Nilai-nilai Sosial



Perlakuan individu sebagai anggota masyarakat sentiasa dipengaruhi nilai-nilai sosial, iaitu individu itu berusaha menyesuaikan perlakuannya dengan nilai-nilai sosial sebagaimana ukuran yang ditentukan oleh masyarakat. Tetapi adakala individu itu bertindak atau melakukan sesuatu, secara disedari tidak mengikuti peraturan sosial sebagaimana yang ditentukan oleh nilai-nilai sosial. Mungkin tindakan atau perlakuannya itu tidak bercanggah dengan nilai-nilai sosial, tetapi merupakan suatu kelainan yang kemudian boleh diterima ramai dan seterusnya mempengaruhi nilai-nilai sosial yang telah wujud dalam masyarakat. Perubahan itu seterusnya membawa kepada perubahan sosial.

Nilai-nilai yang terbina dalam minda individu merupakan nilai-nilai sosial yang dibina dalam masyarakat. Sebagai anggota masyarakat, seorang itu turut memainkan peranan dalam memberikan sumbangan kepada pembinaan nilai-nilai sosial, misalnya sebagai ibu bapa yang memupuk nilai-nilai sosial kepada anak-anak. Dari segi pandangan umum, masyarakat memainkan peranan penting dalam memupuk nilai-nilai sosial terutama dalam mempengaruhi individu. Sebaliknya, peranan individu itu juga penting dalam menentukan kedudukan nilai-nilai sosial. Individu sebagai anggota masyarakat, melalui budinya dapat menimbangkan penting atau tidak sesuatu nilai itu dipertahankan. Individu mempunyai jiwa, emosi dan pemikiran yang mampu melakukan pertimbangan dalam menentukan nilai-nilai sosial, misalnya dalam memilih nilai-nilai sosial yang bersesuaian dengan kepentingan hidupnya.

Nilai-nilai sosial itu adalah asas kepada pembinaan budaya. Nilai-nilai sosial menentukan sikap, world-view dan pemikiran anggota-anggota masyarakat. Dari itu seterusnya menentukan tindakan atau perlakuan individu-individu dalam masyarakat. Perlakuan atau tindakan individu dalam masyarakat itu dapat dijangkakan, iaitu selaras dengan nilai-nilai sosial.

Dalam menerima dan membina nilai-nilai sosial itu selalunya berlaku berasaskan rasional yang diberikan oleh masyarakat. Oleh itu, pemikiran turut memainkan peranan penting dalam menentukan kesesuaian sesuatu nilai sosial itu. Apabila sesuatu nilai sosial itu tidak wajar dipertahankan, misalnya dengan terdapatnya nilai-nilai baru yang difikirkan lebih sesuai maka dengan sendirinya nilai-nilai sosial yang berkaitan diketepikan.

Dalam memperkukuhkan kedudukan nilai-nilai sosial itu, world-view turut memainkan peranan. Apabila sesuatu nilai itu tidak dapat berfungsi dan world-view tentangnya tidak berpatutan, maka nilai-nilai sosial itu diketepikan dan digantikan dengan yang baru, bersesuaian dengan perubahan yang dilalui anggota-anggota masyarakat.

Nilai-nilai sosial itu sepatutnya turut dipengaruhi dan menyatakan emosi yang dibina dalam masyarakat. Misalnya, nilai-nilai kebangsaan dan jati diri yang dipupuk dalam masyarakat, pasti melibatkan semangat, perasaan dan emosi anggota-anggota masyarakat dalam mempertahankan nilai-nilai sosial yang dipupuk itu sebagai nilai-nilai yang disanjung dan dipandang tinggi.

Untuk membawa perubahan kepada sesuatu masyarakat itu, bermakna perubahan itu bermula di peringkat individu. Seorang individu, sebagai sifat manusia mempunyai jiwa dan raga. Perubahannya perlu bermula dari jiwanya, dan dari itu akan mempengaruhi sikap, perlakuan dan tindakannya. Perubahan itu boleh juga dilihat bermula dari perubahan nilai-nilai sosial, dan untuk itu usaha memupuk nilai-nilai sosial ke arah perubahan perlu dilakukan di berbagai peringkat. Tetapi keberkesanannya bergantung kepada suasana persekitaran.

Selalunya untuk membawa kepada perubahan, misalnya dalam rancangan pembangunan amat perlu dirancang dan disediakan berbagai strategi bagi menentukan sesuatu rancangan perubahan itu dapat diterima dengan berkesan oleh anggota-anggota masyarakat. Berkaitan dengan ini, sesuatu rancangan perubahan atau pembangunan itu perlu diberikan perhatian utama kepada perubahan nilai, agar nilai-nilai yang dipupuk itu dapat membawa perubahan sikap dan tindakan atau perlakuan mereka yang terlibat.

Berikutan dengan pesatnya pembangunan yang melibatkan orang Melayu, maka itu turut membawa perubahan nilai dan sikap mereka yang terlibat. Tetapi setakat mana perubahan nilai sosial yang dilalui itu memberikan kesan kepada anggota-anggota masyarakat untuk mengalami perubahan dan pembangunan sebagaimana yang dijangkakan adalah suatu yang tidak dapat dijangkakan. Adakala perubahan yang dilalui itu tidak mencapai tahap sebagaimana yang diharapkan, terutama apabila nilai-nilai tradisi yang diwarisi masih memainkan peranan penting, yang menjadi asas kepada nilai-nilai individu. Walaupun didapati berbagai saluran yang boleh membawa dan mempengaruhi nilai orang ramai, tetapi keberkesanan penyebaran nilai-nilai sosial yang disalurkan secara meluas itu tidak seberapa. Nilai-nilai tradisi yang diwarisi masih menjadi asas dalam menentukan nilai dan tindakan mereka.

Kes Pemerhatian
Untuk meneliti sejauhmana keberkesanan perubahan dalam pembangunan masyarakat membawa perubahan nilai-nilai sosial, dalam rencana ini dikemukakan kes kelompok sosial dalam komuniti sebuah kampung di Kelantan. Berasaskan pengalaman dan pemerhatian komuniti Kampung Semut Api di Kelantan, yang penduduknya kira-kira 1200 orang telah lama, kira-kira 20 tahun yang lalu terdedah seluasnya kepada proses urbanisasi dan modenisasi, dan akhir-akhir ini terdedah kepada proses globalisasi berhadapan dengan berbagai-bagai nilai sosial yang dibawa oleh gelombang perubahan itu.

Generasi kini, boleh dikatakan seluruh penduduk itu celek huruf, iaitu pernah bersekolah. Anak-anak mereka juga bersekolah sekurang-kurangnya di peringkat sekolah menengah rendah. Sejak lebih daripada 20 tahun dahulu penduduk di sini tidak lagi terlibat dalam kegiatan ekonomi tani tradisional, iaitu menangkap ikan di persisiran pantai. Kampung ini yang terletak di pinggiran pantai, merupakan kawasan tumpuan pelancong, baik pelancong dalam negeri mahupun pelancong luar negara. Sebagai pusat tumpuan pelancong, telah memberikan peluang kepada penduduk kampung terlibat dalam berbagai kegiatan ekonomi yang mempunyai kaitan dengan pelancongan, seperti membuka kedai menjual makanan, batik, kraftangan dan barang-barang runcit. Selain itu, terdapat juga mereka yang terlibat dengan menawarkan tempat tinggal kepada pelancong. Sebahagian daripada penduduk kampung bekerja makan gaji di bandar Kota Bharu, yang jauhnya kira-kira 10 km.
Komuniti kampung ini adalah terdedah kepada perubahan dan pembangunan di pusat bandar memandangkan kedudukannya tidak jauh daripada bandar. Selain itu, orang luar yang sentiasa berinteraksi dengan anggota-anggota komuniti turut memberikan peluang mereka mengalami proses modenisasi dan urbanisasi. Terdapat ramai orang muda dari kampung ini yang bekerja di bandar-bandar, dan mereka itu mempunyai hubungan erat dengan ibu bapa dan kaum keluarga mereka di kampung. Hubungan itu memberi peluang anggota-anggota komuniti mengalami perubahan, iaitu proses urbanisasi dan modenisasi.

Majoriti rumahtangga dalam kampung memiliki media elektronik, seperti tv dan radio. Media elektronik itu memainkan peranan penting dalam memberikan pendedahan anggota-anggota komuniti tentang perkembangan di luar kampung, malahan meliputi perkembangan di peringkat global. Media itu dapat mempengaruhi anggota-anggota komuniti mengalami proses urbanisasi dan modenisasi. Malahan, dengan berbagai kemudahan yang dibawa oleh perkembangan teknologi moden sedikit sebanyak boleh memberikan peluang untuk membawa perubahan kepada anggota-anggota komuniti.

Berasaskan kepada pendedahan anggota-anggota komuniti itu kepada perubahan dan pembangunan yang berlaku di luar kampung dan seterusnya di peringkat global boleh membawa perubahan kepada nilai-nilai sosial. Kini saluran pemupukan nilai-nilai sosial itu semakin luas, yang tidak lagi terbatas kepada saluran pemupukan nilai sebagaimana dalam masyarakat masa lalu. Dengan itu, kesannya boleh mempengaruhi orang ramai untuk mengalami perubahan. Perkembangan teknologi moden dan pembangunan yang melibatkan penduduk kampung diharapkan dapat membawa perubahan sikap dan tindakan anggota-anggota komuniti. Perubahan itu seterusnya boleh membawa kemajuan dan kejayaan kepada orang Melayu.

Sebagaimana telah dinyatakan, tujuan mengemukakan kes ini ialah untuk meninjau keberkesanan meningkatnya saluran pemupukan nilai ke atas nilai-nilai sosial dalam komuniti yang diteliti itu. Sungguhpun anggota-anggota komuniti didedahkan dengan berbagai saluran yang boleh membawa pesatnya perubahan nilai-nilai sosial, tetapi didapati kesannya tidaklah sebagaimana yang dijangkakan.

Individu sebagai anggota komuniti didapati amat dipengaruhi nilai-nilai sosial yang dipupuk oleh anggota-anggota komuniti dan persekitaran, termasuk ibu bapa, kaum keluarga dan rakan-rakan sebaya. Persekitaran sosial didapati amat berkesan dalam menentukan sikap, perlakuan dan tindakan seseorang dalam komuniti.

Setiap individu menyedari peranannya dalam keluarga, dan hubungan kekeluargaan serta hubungan sosial yang perlu dipertahankan. Walaupun nilai-nilai individualistik dan kebendaan pesat mempengaruhi penduduk di peringkat lebih luas, tetapi menyedari kepentingan hubungan sosial, seperti kekeluargaan dan `orang kita’ didapati masih dipertahankan. Usaha mengeratkan hubungan kekeluargaan dan hubungan sosial, misalnya melalui institusi-institusi sosial tradisi masih dipertahankan. Di paras individu, masing-masing menyedari tanggungjawab yang perlu diberikan kepada keluarga dan kelompok sosial.

Berkaitan dengan nilai-nilai yang dipupuk dalam bidang ekonomi, kesan pembangunan ekonomi untuk mendorongkan orang Melayu meningkatkan kemajuan ekonomi kurang mempengaruhi anggota-anggota komuniti di peringkat kampung. Dorongan ke arah pencapaian ekonomi itu masih dikongkong oleh kepentingan nilai-nilai sosial. Persekitaran sosial, yang masih kuat dipengaruhi nilai-nilai sosial tradisi didapati menjadi asas pembinaan sikap dan tindakan atau perlakuan individu. Walaupun nilai-nilai material kini agak ketara, tetapi nilai-nilai itu tidak pula mempengaruhi segala aspek kehidupan anggota-anggota komuniti yang boleh mengubah sikap dan pandangan hidup.

Anggota-anggota komuniti masih memberikan penekanan tentang budi, dan fenomenon ini berkaitan dengan adat, sopan santun dan tatasusila. Nilai-nilai sosial sangat dipengaruhi kepentingan nilai-nilai sosial itu. Perkara itu pula mempengaruhi berbagai aspek kehidupan anggota-anggota komuniti. Penekanan yang diberikan kepada perlakuan yang berlandaskan budi itu yang meletakkan tradisi itu sebagai jati diri dan rasa kekitaan sebagai “orang kita”. Semangat ini adalah berasaskan kepada emosi yang telah kukuh terbina dalam kelompok sosial itu.

Kepentingan Persekitaran dalam Pembinaan Nilai
Nilai-nilai sosial dalam hubungan sosial dan kekeluargaan, nilai-nilai ekonomi dan budi Melayu dalam adat yang dilihat sebagai kes dalam perbincangan ini, masih kuat terikat kepada nilai-nilai sosial yang diwarisi, generasi demi generasi. Ibu bapa dan persekitaran sosial dalam komuniti kampung itu memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan nilai-nilai sosial.

Kekuatan nilai-nilai sosial tradisi itu tidak dapat dinafikan adalah berteraskan ajaran Islam. Ibu bapa dan anggota-anggota komuniti menyedari pentingnya pendidikan Islam, dan nilai-nilai yang berteraskan kepada Islam itu dipupuk kepada generasi muda. Adakala generasi muda itu terbawa-bawa oleh pengaruh perlakuan yang bercanggah dengan nilai-nilai Melayu itu. Tetapi apabila mereka meningkat dewasa, nilai-nilai sosial yang dipupuk sejak kecil itu adalah asas dalam memberikan kesedaran mereka.

Dalam komuniti kampung yang penduduknya tidak begitu ramai, pembinaan kelompok “orang kita” dapat diangap sangat penting dalam mengawal nilai-nilai sosial. Tekanan sosial yang sentiasa mengawal anggota-anggota komuniti mematuhi nilai-nilai sosial itu adalah berkaitan dengan usaha mempertahankan nilai-nilai sosial. Ikatan kepada kelompok sosial itu amat penting dalam menentukan nilai-nilai sosial, sikap, sentiman, dan seterusnya perlakuan atau tindakan.

Setiap individu sebagai anggota komuniti mempunyai ikatan atau rasa kekitaan terhadap kelompok sosial. Oleh itu nilai-nilai yang dipupuk sejak kecil oleh ibu bapa dan persekitaran sosial bersebati dalam diri dan mempengaruhi jiwa dan emosinya. Seterusnya ia akan menyampaikan pula kepada anak-anak dan orang-orang di bawah tanggungannya. Dengan cara itu nilai-nilai tradisi meresap dalam ke dalam jiwa anggota-anggota komuniti, dan seterusnya membina ikatan emosi yang kukuh di kalangan mereka.

Nilai-nilai tradisi itu dengan jelas menyatakan jati diri bagi sesuatu masyarakat. Dan nilai-nilai itu dianggap paling baik dan sesuai dipertahankan. Kesannya kepada jiwa dan emosi individu itu menyebabkan masing-masing berusaha mempertahankan. Individu berusaha menyatakan perlakuannya sebagaimana norma yang telah ditetapkan oleh masyarakatnya. Malahan, itu semakin kukuh apabila ia berteraskan kepada ajaran Islam.

Seseorang anggota komuniti menyedari tindakan atau perlakuannya sentiasa diawasi orang-orang lain di sekitarnya. Tindakan atau perlakuan yang tidak sewajarnya atau bercanggah dengan nilai-nilai sosial selalunya dikenakan tekanan sosial sebagaimana kebiasaan dalam masyarakat. Berkaitan dengan tekanan sosial ini dalam konteks malu dan maruah atau harga diri telah bersebati dalam jiwa dan emosi anggota-anggota komuniti. Tekanan ini juga mempengaruhi individu-individu untuk mematuhi nilai-nilai sosial sebagaimana yang telah kukuh dalam masyarakat.

Individu yang berhijrah atau tinggal di bandar berusaha menyesuaikan tindakan dan perlakuannya apabila ia pulang ke kampung selaras dengan nilai-nilai sosial yang dipupuk kepada dirinya semasa di kampung. Dalam keadaan ini anggota-anggota komuniti menyedari nilai-nilai sosial yang patut dipertahankan di peringkat kampung, walaupun nilai-nilai sosial pesat mengalami perubahan di pusat-pusat bandar.

Rumusan
Nilai-nilai sosial sebenarnya menyatakan nilai-nilai individu, dan seterusnsya mempengaruhi jiwa, emosi dan pemikiran individu itu. Sungguhpun individu itu dipengaruhi nilai-nilai sosial, seperti yang dipupuk oleh masyarakatnya, tetapi individu mempunyai kemampuannya, dari segi emosi dan pemikirannya dalam menentukan nilai-nilai sosial itu perlu dipertahankan atau tidak. Malahan, individu sebagai anggota masyarakat dapat mempengaruhi nilai-nilai sosial.

Masyarakat Melayu kini terdedah seluasnya kepada penyebaran dan perkembangan budaya, baik di peringkat nasional mahupun di peringkat global. Pembangunan ekonomi, perkembangan pendidikan dan kemajuan teknologi moden dapat dianggap sebagai saluran penting dalam pemupukan nilai-nilai sosial berbanding dengan saluran tradisional. Perkembangan itu dianggap meningkatkan proses modenisasi dan urbanisasi, dan ini boleh dianggap suatu perkembangan baik yang boleh memberikan peluang kepada orang Melayu meningkat maju dalam persaingan dengan kumpulan-kumpulan ethnik lain.

Pembangunan pesat yang berlaku dalam masyarakat Melayu itu boleh dianggap meluas, tetapi kesannya dari segi perubahan nilai-nilai sosial itu tidak mampu membawa perubahan budaya keseluruhannya. Walaupun individu sebagai anggota masyarakat didedahkan dengan berbagai-bagai nilai sosial, terutama nilai-nilai sosial yang disalurkan dari luar, misalnya media elektronik, hubungan dengan luar dan seumpamanya, kesannya tidak begitu ketara berbanding dengan nilai-nilai sosial yang dipupuk dari dalam kelompok komuniti itu.

Dalam kelompok komuniti yang hubungan sosial erat di kalangan anggota-anggotanya, telah dapat membina rasa kekitaan yang kuat. Sebagai “orang kita”, maka nilai-nilai sosial yang dipupuk dari satu generasi kepada satu generasi telah membina tradisi budaya yang kukuh. Nilai-nilai sosial yang diwarisi dalam kelompok sosial itu didapati sangat dominan. Anggota kelompok sosial itu menerima dan mempertahankan nilai-nilai sosial itu sebagai tradisi yang dianggap sesuai bagi memperkukuhkan perasaan kekitaan. Nilai-nilai itu boleh dianggap sangat penting dalam memperkukuhkan semangat kekitaan.

Sebagaimana telah dinyatakan, untuk membawa perubahan kepada masyarakat maka terlebih dahulu perlu dibawa perubahan kepada budayanya. Individu sebagai anggota masyarakat amat penting mengalami perubahan nilainya agar sikap dan tindakannya dapat berubah menyesuaikan dengan keperluan dan perkembangan semasa. Walau bagaimanapun, perubahan nilai-nilai sosial itu boleh berlaku dengan cara berkesannya apabila perubahan itu dipupuk dari dalam komuniti atau kelompok sosial yang menjadi sasaran perubahan. Usaha membawa perubahan dengan cara menyalurkan nilai-nilai sosial yang baru melalui media massa atau pendedahan secara luaran didapati tidak banyak membawa kesannya. Untuk mendapatkan kesan yang sewajarnya, maka perancangan dan strategi yang membawa perubahan nilai-nilai sosial dari dalam kelompok sosial itu sangat penting dilakukan.

Memahami permasalahan ini, kita dapati orang Melayu, terutama di peringkat kampung agak sukar untuk mengalami perubahan walaupun berbagai usaha pembangunan dilakukan. Perkara ini boleh dikesan di peringkat individu yang nilai-nilai sosial yang mempengaruhinya, dan seterusnya mempengaruhi semangat, sikap, pemikiran, jiwa dan emosinya adalah tradisi yang dipupuk oleh persekitaran sosial.




Sinopsis



Pemupukan nilai-nilai sosial dan emosi Melayu

Orang Melayu kini terdedah kepada berbagai saluran pemupukan nilai-nilai sosial, proses modenisasi, urbanisasi dan seterusnya globalisasi membawa berbagai-bagai nilai sosial yang boleh mempengaruhi kehidupan orang Melayu. Tetapi ikatan kepada tradisi, mempengaruhi emosi orang Melayu mempertahankan nilai-nilai sosial tradisi.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...