Hubungan Perjuangan Islam Dengan Jihad
Di dalam bahasa Arab, perkataan yang paling sesuai dan sinonim dengan perjuangan adalah jihad, kifah dan nidhal. Perbahasan tentang perjuangan Islam tidak dapat dipisahkan dengan persoalan jihad kerana penggunaan perkataan jihad lebih kerap di dalam tulisan dan kitab yang menyentuh tentang perjuangan Islam. Jihad adalah kata terbitan (mashdar) yang berasal dari perkataan jahada bererti bersungguh-sungguh dan berpenatan mengerjakan sesuatu.
Jaahada (dengan mad) pula bererti memerah tenaga. Jahada al-’aduw bererti memerangi musuh. Dari segi bahasa, jihad membawa pengertian berjuang berhabis-habisan untuk meningkatkan sesuatu matlamat. Al-Jihad menurut kebanyakan kamus bererti perang mempertahankan agama. Dalam konteks Islam, pekerjaan yang paling bersungguh adalah yang paling banyak risiko iaitu peperangan atau usaha menegakkan kalimah Allah di hadapan ancaman pemerintah yang zalim sebagaimana dinyatakan dalam hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sebaik-baik jihad adalah perkataan yang benar di hadapan pemerintah yang zalim”.
Sebab itulah kebanyakan penta’rifan jihad pada zaman silam lebih merujuk kepada aspek peperangan. Contohnya ulama Mazhab Syafie memberi definisi jihad sebagai: perang ke atas orang kafir untuk memenangkan Islam. Manakala ulama Mazhab Hanafi pula mendefinisikannya sebagai: menyeru kepada agama yang sebenar dan memerangi orang yang tidak menerimanya, dengan harta dan nyawa.
Imam Hassan al-Banna pula menyatakan: Islam mewajibkan jihad ke atas penganut-penganutnya bukanlah bertujuan untuk mencari permusuhan di antara sesama manusia, dan bukan pula untuk membuka jalan ke jurang tamak dan haloba kepada harta benda dunia secara merampas dengan kekerasan, tetapi jihad itu diwajibkan semata-mata bertujuan untuk menjamin keamanan dan perdamaian dengan menunaikan risalah agama yang diamanahkan Allah ke atas pundak tiap-tiap seorang dari kaum Muslimin, menyampaikan risalah agama yang memberi petunjuk kepada manusia menuju ke arah pintu gerbang keadilan dan kebenaran.
Namun dalam konteks zaman mutakhir ini perjuangan Islam khususnya dengan pengertian jihad lebih merangkumi aspek yang luas dengan tidak tertumpu kepada aspek peperangan bersenjata sahaja. Bahkan ia lebih banyak cenderung kepada persoalan memperbaiki umat dan mempertahankan hak-hak umat Islam. Oleh itu, ia meliputi segala usaha umat Islam dahulu menyebarkan Islam dan mempertahankan negara Islam dengan kekuatan fizikal dan senjata, juga usaha bersungguh-sungguh umat Islam mutakhir ini mengembalikan kedaulatan Islam dan membaiki kesedaran umat sama ada melalui gerakan bersenjata, penentangan terhadap pemerintah yang tidak melaksanakan Islam, dengan saluran pilihanraya, penulisan dan sebagainya.
Pokoknya adalah di dalam usaha tersebut di sepanjang zaman mereka akan menghadapi cabaran, tentangan dan ujian dari Allah s.w.t. Dan di dalam semua pekerjaan inilah, kita akan dapati wujudnya suasana maju mundur, menang kalah dan pasang surut gerakan Islam seperti yang pernah diakui oleh Abu Sufyan al-Harb (sebelum keIslamannya) ketika ditanya oleh Kaisar Heraclius tentang peperangan di antara kaum Quraisy dengan Rasulullah saw. Ketika utusan Rasulullah saw yang bernama Dahyah menyampaikan surat dari baginda kepada Kaisar, Kaisar telah terlebih dahulu mencari orang yang hampir dengan Rasulullah saw untuk menyoal selidik tentang latar belakang dakwah baginda.
Lalu Abu Sufyan menyatakan: “perang di antara kami dengan dia (Muhammad) silih berganti, kadang-kadang ia yang menang dan kadang-kadang kami yang menang.”
No comments:
Post a Comment