24 Disember 2010M / 18 Muharam 1432H
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Pada hari yang mulia ini, marilah kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan mengerjakan segala suruhanNya dan menjauhi segala laranganNya. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan orang yang beruntung di sisi Allah SWT.
“Sucikan Harta”.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Zakat adalah ibadat yang diwajibkan kepada umat Islam untuk menyucikan jiwa dan membersihkan harta. Ia juga sebagai bukti kecintaan kepada Allah SWT yang mengatasi kecintaan kita kepada harta dunia yang sementara. Oleh demikian, ia merupakan sifat yang digambarkan oleh Allah SWT sebagai antara sifat-sifat orang yang benar-benar beriman.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Anfal ayat 3-4:
Bermaksud :
"Mereka adalah orang yang mendirikan solat dan yang menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang kami kurniakan kepada mereka.Merekalah orang yang beriman dengan sebenar-benarnya.Mereka akan mendapat beberapa darjat ketinggian disisi tuhan mereka dan keampunan serta rezeki yang mulia (disyurga)".
Memetik mutiara kata indah daripada Imam An-Nawawi Rahimahumullah Taala:
"Sesiapa yang mengingkari kefardhuan zakat pada zaman ini, maka dia telah kafir secara ijmak. Pengetahuan tentang kewajipan zakat telah tersebar secara meluas di kalangan umat Islam, sehinggakan ia diketahui oleh orang awam dan khusus, orang alim dan jahil. Oleh itu, tidak ada alasan bagi sesiapapun membuat sebarang pentakwilan untuk mengingkarinya".
Sejarah membuktikan ketika zaman pemerintahan Saidina Abu Bakar As- Siddiq, beliau telah mengutuskan bala tentera untuk memerangi segolongan bangsa arab yang secara terang-terangan tidak beriman dengan kewajipan ibadat zakat. Ini menjadi bukti bahawa umat Islam wajib beriman dengan perintah zakat dengan melaksanakannya sepenuh hati dan jiwa terhadap perintah tersebut.
Kita mestilah memastikan hasil pendapatan dan gaji yang diperolehi, emas yang dipakai atau disimpan, barangan perak, wang simpanan di bank, pelaburan saham-saham yang halal, perniagaan, pertanian dan penternakkan dibersihkan dengan pelaksanaan ibadah zakat. Sesungguhnya melalui zakat yang ditunaikan, segala harta yang kita miliki akan menjadi penyelamat diri kita daripada azab api neraka.
Umat Islam wajib untuk memahami perkara-perkara yang berhubung kait dengan ibadah zakat. Ia boleh dicapai melalui pembacaan, menghadiri pengajian ilmu, mendengar taklimat berkaitan zakat atau pun menghubungi kaunter-kaunter zakat berhapiran. Usaha ini akan meningkatkan kefahaman kita, seterusnya akan membantu kita melaksanakan kewajipan tersebut dengan penuh penghayatan dan keikhlasan.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Zakat yang ditunaikan itu sebenarnya suatu pelaburan yang akan menjadi penolong dan penyelamat kita di akhirat kelak. Marilah kita beringat bahawa kehidupan yang kekal abadi ialah di akhirat. Sesungguhnya ibadat zakat akan melahirkan individu muslim yang berjiwa rakyat, membentuk ukhwah Islamiah yang jitu, jati diri yang mantap, semangat pengorbanan yang luhur dan keperihatinan yang kukuh serta jiwa yang suci murni.
Allah SWT menjanjikan ganjaran pahala yang besar dan rezeki yang melimpah-ruah khusus untuk hamba-hambaNya yang setia melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah, akan menjadikan kita insan yang diredhai dan dikasihi Allah didunia dan akhirat. Allah menjanjikan pelbagai kelebihan dan ganjaran pahala yang amat besar bagi hamba-hambaNya yang ikhlas menunaikan ibadah zakat.
Firman Allah SWT di dalam Surah Ar-Ruum ayat 39:
Bermaksud :
"Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah kembang dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan berkembang di sisi Allah SWT (tidak mendatangkan kebaikan) dan sebaliknya sesuatu pemberian zakat yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata ,maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda"
Selain itu, Allah SWT akan menggantikan yang lebih baik daripada yang dimiliki oleh hambaNya yang ikhlas menunaikan zakat. Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
Bermaksud: Tiada satu pagi hari yang dilalui oleh hamba-hamba Allah melainkan turun salah seorang malaikat, Ya Allah berikanlah orang yang bersedekah dua malaikat, maka berdoa gantian hartanya. Manakala berdoa pula malaikat yang lain, Ya Allah berikanlah orang yang bakhil kebinasaan hartanya.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Sebenarnya harta kekayaan yang kita miliki itu adalah amanah Allah SWT. Ini bermakna setiap rezeki yang diperolehi itu tidak boleh didakwa sebagai milik mutlak diri kita. Pada harta itu ada hak untuk isteri dan anak-anak, kaum kerabat dan jiran tetangga yang memerlukan pertolongan, fakir miskin yang mengharapkan belas dan ihsan..
Firman Allah SWT di dalam Surah Az-Zaariyaat ayat 19 :
Bermaksud:
"Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagiannya (tidak meminta)".
Justeru, Islam sangat menggalakkan umatnya mencari rezeki dan memiliki harta. Ini kerana dalam Islam disyariatkan ibadah zakat. Tidak mungkin seseorang itu mengeluarkan zakat sekiranya mereka tidak memiliki harta.
Sekiranya umat Islam yang memiliki harta tetapi enggan mengeluarkan zakat disebabkan pelbagai alasan sedangkan mereka sudah memenuhi syarat wajib berzakat, maka golongan ini sebenarnya tidak bersyukur dengan nikmat rezeki yang dikurniakan Allah SWT.
Islam telah menjadikan zakat sebagai peraturan yang lengkap dengan menganjurkan penganutnya mengeluarkan zakat untuk diagihkan kepada asnaf-asnaf yang berhak menerima zakat.
Firman Allah SWT di dalam Surah At-Taubah ayat 60 :
Bermaksud :
"Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang faqir dan miskin dan para amil yang menguruskannya dan para muallaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba dan orang yang berhutang dan untuk dibelanjakan pada jalan Allah dan untuk para musafir di dalam perjalanan. Demikianlah ketetapan dari Allah dan ingatlah bahawa Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana".
Renungkanlah betapa besarnya ganjaran pahala yang diperolehi oleh insan-insan yang ikhlas melaksanakan ibadah zakat. Melalui wang zakat tersebut, golongan fakir dan miskin dapat menikmati kehidupan yang selesa, anak-anak mereka beroleh pendidikan yang lebih baik dan sempurna sehingga mereka lahir sebagai insan berilmu yang akan membantu diri dan keluarga mereka untuk keluar dari belenggu kemiskinan dan kefakiran. Seterusnya mereka akan memberi sumbangan dan bakti kepada ummah dan negara.
Pembelaan dan kebajikan yang dikecapi oleh asnaf-asnaf ini akan kembali kepada pembayar-pembayar zakat dalam bentuk ganjaran yang hanya Allah SWT sahaja mengetahui betapa besar dan hebatnya pahala-pahala yang dijanjikan kepada insan yang ikhlas berzakat. Sesungguhnya Allah SWT pasti akan menunaikan janji-janjinya.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Harta yang diinfakkan akan menjadi subur dan berkembang dengan pengeluaran zakat. Tidak seperti harta riba yang akan musnah, hilang berkatnya dan mengheret tuannya ke neraka.
Allah SWT berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 276:
Bermaksud :
" Allah S.W.T kurangkan ( kebaikkan harta yang dijalankan dengan mengambil ) riba dan ia pula mengembangkan ( berkat harta yang dikeluarkan ) sedekah-sedekah dan zakatnya, Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran dan selalu melakukan dosa".
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kesimpulan yang dapat dipetik daripada khutbah pada hari ini ialah:
Pertama : Ibadah zakat menjadi suatu kewajipan kepada setiap umat Islam yang cukup syarat untuk melaksanakannya demi meninggikan syariat.
Kedua : Harta yang dimiliki bukanlah hak mutlak kita sepenuhnya tetapi perlu dikongsi dan diagihkan kepada mereka yang memerlukan bagi membuktikan kesyukuran kita kepada Allah SWT.
Ketiga : Zakat menjadi wasilah utama umat Islam di dalam memerangi amalan riba.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 278-279:
Bermaksud :
"Wahai orang yang beriman!,hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan menjauhi saki-baki riba' (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu,jika benar kamu orang yang beriman.Jika kamu tidak mahu melakukan (perintah mengenai larangan riba' itu), maka ketahuilah bahawa allah dan rasulnya akan memerangi kamu (akibatnya kamu tidak akan selamat), dan jika kamu bertaubat (mengkhianatinya),maka hak kami (yang sebenarnya) ialah modal pokok harta kamu.(Dengan yang demikian) kamu tidak mengenai (kepada sesiapa), dan kamu juga tidak teraniaya".
No comments:
Post a Comment