Salam Alaikum

BismillÃh HirRohmaanir Rohimm

Kata Hikmah AM

~~~... aku BERANI kerana BENAR, lalu aku tidak GENTAR. aku bukan JEBAT, dan aku bukanlah juga TUAH. tetapi, aku adalah hamba doif yang bergelar KHALIFAH di muka bumi ALLAH ...~~~


biar orang hina diri kita tapi jangan kita hina diri sendiri, biar orang lukakan hati kita, jangan kita sesekali melukai diri sendiri, kita berhak atas diri kita sesungguhnya air mata itu adalah penyampai perasaan dan luahan jiwa..

yA AllAh, ApAbIlA ENGKAU mEmAnggIlkU, AmbIlAh AkU dAlAm kEAdAAn KhUsnUl KhOtImAh dAn sEmpAtkAnlAh AkU mEngUcApkAn kAlImAt "LA ILAHA ILLALLAH"

Ahli Jemaah

Network Blogger

Demi Masa

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Dan Penyayang

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Segala hakcipta milik Allah S.W.T. Jika difikirkan perlu copy dan sebar, silakan. Tak perlu minta izin.

There’s No Copyright In Islam

Thursday, January 20, 2011

Perdamaian Yang Penuh Berliku

Soalan:
Berdosakah atau zalimkah saya sekiranya saya tidak meredhai perbuatan jahat rakan kepada saya?

Jawapan:

Saya dapat membayangkan betapa terguris perasaan anda apabila dikecam atau ditikam oleh rakan sendiri disebabkan kerana hasrat ingin mencari kepentingan terhadap diri sendiri. Keadaan begini menjadikan kita lebih faham mengapa Allah menyebut: (maksudnya)

“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amalan soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku ialah dalam kalangan muslimin!”. Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan) dengan cara yang lebih baik; maka (engkau akan dapati) orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar (dari kebahagiaan dunia dan akhirat)”.
(Surah Fussilat ayat 33-35).

Dalam ayat di atas, Allah SubhanAllah Taala mengajar dalam ayat di atas agar kita menyeru kepada Allah, iaitu ajaranNya bukan kepada kepentingan diri atau apa sahaja, serta menyatakan kita dalam kalangan kaum muslimin. Maka muslim atau Islam itulah identiti kita merentasi segala identiti dan ideologi perkauman, politik dan fanatik kelompok dan puak.

Kemudian Allah SubhanAllah Taala mengajar agar dalam dakwah kita berusaha menolak kejahatan dengan kebaikan. Tidak perlu menyimpan dendam dan amarah yang tidak sudah. Dengan tidak menggadaikan prinsip dan berhati-hati, dalam masa yang sama al-Quran memberitahu kita tindakan menunjukkan kebaikan dalam menghadapi kejahatan boleh menatijahkan musuh menjadi rakan setia.

Namun Allah juga memberitahu untuk melaksanakan hal ini amatlah berat dan tidak akan sanggup dipikul melainkan mereka yang sabar dan mendapat kurniaan besar daripada Allah.

Allah SubhanAllah Taala dalam firmanNya yang lain (maksudnya)

“Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah antara keduanya; jika salah satunya berlaku melampau terhadap yang lain, maka perangilah puak yang melampau itu sehingga mereka kembali mematuhi perintah Allah; jika mereka kembali patuh, maka damaikanlah antara keduanya dengan adil, serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sebenarnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”
(Surah al-Hujurat: ayat 9-10).

Juga sabda Nabi s.a.w:

“Mahukah kamu aku khabarkan amalan yang lebih tinggi darjatnya daripada puasa dan solat ? Jawab para sahabah: Bahkan. Sabda baginda: “Mendamaikan hubungan, kerana rosaknya hubungan itu adalah pencukur (mencukur agama)” (.Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani).

Amat dukacita jika ada dalam kalangan orang Islam yang sering mengambil kesempatan keatas orang lain untuk kepentingan sendiri, tambahan pula, Allah SubanAllah Taala berfirman dalam surah Al-Hujarat Ayat 10

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

Apapun, perdamaian bukan semestinya menghapuskan identiti, tetapi untuk kembali memahami antara satu sama lain atas asas ukhuwwah islamiyyah. Bak firman Allah: (maksudnya)

“Tiada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau menyuruh berbuat kebaikan, atau menyuruh perdamaian antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar” (Surah al-Nisa’: ayat 114).

Jika kita tidak melenting dengan cadangan agar penjenayah Chin Peng dimaafkan dan dibawa pulang, mengapa pula begitu marah untuk sesama muslim cuba bersemuka, berterus terang, maaf memaafi dan berunding untuk mencapakai kata sepakat dalam menyelesaikan masalah.

Allah sebutkan tentang ciri-ciri ahli syurga, antaranya: (maksudnya)

“..dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang, dan (ingatlah), Allah mengasihi mereka yang berbuat perkara-perkara yang baik” (Surah Ali ‘Imran ayat 134).

Ada yang berkata jangan sampai jadi macam tentera ‘Ali bin Abi Talib r.a. yang ditipu oleh ‘Amr bin al-‘As dan Muawiyah bin ‘Abi Sufyan. Mengambil kesempatan ini saya ingin menegaskan bahawa ‘Amr bin al-‘As dan Muawiyah bin Abi Sufyan tidak pernah menipu ‘Ali bin Abi Talib. Riwayat-riwayat Syi’ah telah mempengaruh pemikiran sebahagian besar pembaca sejarah.

Riwayat-riwayat rawi Syi’ah seperti Abu Mikhnaf (meninggal 157H) telah menggambarkan seakan para sahabah Nabi s.a.w mengkhianati antara satu sama lain. Padahal kesemua para sahabat tersebut mendapat pujian Nabi s.a.w semasa hayat baginda.

Sebenarnya, setelah berlaku peperangan ‘Ali dengan Muawiyah dan puluhan ribu orang Islam terbunuh, Mu`awiyah telah mengangkat al-Quran dan menyatakan:

“Ini dia penyelesaian antara kami dan kamu, sekiranya semua manusia (umat Islam) musnah, siapa yang akan menjaga sempadan, siapa yang akan berjihad menentang golongan musyrikin dan kuffar?”. Maka, peperangan pun dihentikan.
(‘Iyadah Ayyub al-Kubaisiy, Sahabah al-Rasul fi al-Kitab wa al-Sunnah, m.s.319-321, Syria: Dar al-Qalam).

Selepas perdamaian tersebut maka terjadilah peristiwa Tahkim yang masyhur. Malangnya hakikat sebenar Tahkim ini telah diputar belitkan dengan menggunakan riwayat-riwayat palsu yang kononnya `Amr bin al-`As telah menipu Abu Musa al-Asy`ari. Tokoh sejarahwan agung Muhibb al-Din al-Khatib berkata

“..apa yang diperkatakan oleh mereka yang keliru bahawa Abu Musa dan `Amr telah bersetuju memecat `Ali dan Mu`awiyah, apabila Abu Musa memecat `Ali, `Amr juga memecatnya tapi mengekalkan Mu`awiyah adalah satu kekeliruan, dan sengaja mereka itu bersikap jahil. Sebabnya Muawiyah ketika itu tidak pernah menjadi khalifah dan tidak pernah mendakwa sebagai khalifah sehingga perlu `Amr memecatnya. Sebaliknya mereka telah bersetuju menyerahkan urusan kekhalifahan kepada umat Islam yang ada, yang terdiri daripada kalangan para sahabah yang mana Rasulullah s.a.w. wafat dalam keadaan meredhai mereka. Kedua-duanya telah bersetuju demikian. Oleh itu tidak timbul mengenai persoalan Mu`awiyah, kerana beliau bukannya khalifah dan beliau juga tidak berperang untuk menjadi khalifah, sebaliknya kerana menuntut dilaksanakan hukuman had syar’i kepada mereka yang terlibat dalam pembunuhan `Uthman. Apabila Tahkim menyentuh persoalan kepimpinan orang Islam, kedua-duanya telah bersetuju untuk diserahkan masalah ini kepada para pembesar sahabah. Adapun berhubung dengan perlaksanaan pentadbiran, `Ali menguruskan negeri-negeri yang ada di bawahnya dan Mu`awiyah pula menguruskan negeri-negeri yang ada di bawahnya. Oleh itu di dalam peristiwa Tahkim tidak ada kisah tipu daya dan helah..”
(al-Awasim min al-Qawasim (ta’liqat) m.s. 177, Beirut: Dar al-Khair).

Apa pun, sejarah Siffin amatlah hitam kerana telah mengorbankan umat Islam begitu banyak. Sebab itu dari awal lagi, majoriti para sahabat Nabi s.a.w.enggan terlibat dengan perbalahan tersebut. Kata tokoh tabi’in Muhammad bin Sirin:

“Ombak fitnah melanda sementara para sahabah yang masih hidup berpuluh-puluh ribu, namun yang terlibat di dalamnya tidak melebihi seratus orang. Bahkan tidak melebihi tiga puluh orang”
(rujukan: Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 7/264).

Sepertimana yang diterakankan sebelumnya, Allah berfirman dalam surah An-Nahl ayat 126 yang bermaksud

Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar.

Oleh itu, sebaik-baiknya jika ada kesilapan, biarlah kita orang pertama yang memohon maaf, seterusnya berterus-teranglah, walaupun kebenaran itu pahit untuk ditelan. Semoga silaturrahim yang dibina terus utuh tanpa diselitkan sedikitpun perasaan dendam dan benci.

Wallahu a’lam bish-shawabi.

1 comment:

Unknown said...

terima kasih dengan info berguna ini..:)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...