Antara perkara yang sering bermain di fikiran, adakah jalan pintas atau 'shortcut' menuju syurga dan bertemu dengan Allah? Mungkin mereka yang merasakan bahawa amalan harian tidak cukup untuk bertemu dengan Tuhan dan amalan harian itu mengambil masa yang lama. Kita perlu tahu, jika kesabaran kita tidak mantap, ramai yang akan terlepas dan putus ditengah jalan. Sebenarnya, ada jalan pintas, yakni Jihad Fisabilillah (berjihad ke jalan Allah)
Kita sedia maklum, apabila membangkitkan soal jihad, pasti ramai yang akan berfikir "Tentera Jihad", "Bom Jihad", "Pengganas", "Al-Qaidah", "Jemaah Islamiyah", "Taliban", dan banyak lagi yang negetif yang membawa mereka berfikir kearah kekerasan, pembunuhan beramai-ramai, peperangan dan kematian. Malah ramai golongan kafir akan memikirkan bahawa Agama Islam sangat tidah berperikemanusiaan atau tidak manusiawi. Cuba kita renungkan sejenak, adakah itu yang dimaksudkan dengan jihad? Adakah itu jalan pintas untuk kita bertemu dengan Allah yakni atas dasar derita dan pertumpahan darah? Bukankah Islam merupakan anugerah(rahmat) bagi seluruh alam? Bukankah Islam mengajar tentang kasih sayang dan pendamaian? Adakah derita merupakan jalan pintas menuju Allah?
Sebenarnya, pemikiran seperti itu perlu kita betulkan. Ada ketika kita memahami sesuatu perkara dengan cetek, hingga kita sendiri, yakni umat Islam salah menafsirkannya. Adakala apabila kita belajar sesuatu perkara, kita sudah merasakan seolah-olah kita telah mengetahui segalanya. Akibatnya, sesuatu yang mulia di sisi Allah, direndahkan martabatnya, dipandang hina, direndahkan oleh umat Islam sendiri. Tidak dinafikan, dalam beberapa hadis, jihad membawa makna kearah peperangan. Malah, jika para ulama membahaskan isu mengenai peperangan pasti memberi tajuk "Bab Jihad". Memang benar berjihad ke jalan Allah membawa kita melalui jalan pintas untuk bertemu denganNYA kerana pahala dan darjat jihad adalah tinggi. Allah sendiri telah berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud
'Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman - selain daripada orang-orang yang ada keuzuran - dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar; Iaitu beberapa darjat kelebihan daripadaNya, dan keampunan serta rahmat belas kasihan. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
(Surah An-Nisa Ayat 95-96)
Selain daripada itu, jihad juga merupakan kemuncak cinta seorang hamba terhadap Sang Pencipta. Orang yang berjihad menempul pelbagai dugaan dan cabaran seperti sakit, menderita, kehilangan harta benda, kehilangan keluarga bahkan hingga mengorbankan nyawa. Orang yang sanggup menempuh segala itu merupakan orang yang merasakan cintanya pada Allah sudah sebati dalam jiwanya hingga sanggup berkorban segalanya demi mengharapkan keredhaan dan balasan Allah. Apabila berjuang di jalan Allah, demi mendapat keredhaan Allah, demi cinta yang mendalam kepada Allah, dan apabila gugur di medan "jihad", maka tiada balasan yang lain melainkan ke syurga tanpa dihisab.
Oleh itu, bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham mengenai makna dan konsep jihad, marilah kita sama-sama renungkan agar kita dapat memperbetulkan persoalan yang timbul mengenai "jihad" agar jihad tidak dilihat sebagai permusuhan, kekerasan, pertumpahan darah dan lain-lain. Di sini, AM akan cuba memperlihatkan bagaimana jihad yang "menyeramkan" sebenarnya merupakan sesuatu yang indah dan mudah bagi sesiapa yang ingin menempuhnya.
Apa Itu Jihad
Jihad dari sudut bahasa membawa erti bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara. Sedangkan jihad fisabilillah pula bermaksud bersungguh-sungguh mencurahkan segenap kemampuan bagi memperjuangkan dan menegakkan agama Allah di muka bumi. Oleh itu, tidak salah jika sebahagian ulama mendefinisikan jihad sebagai peperangan. Walau apa pun perjuangan, penghujungnya pasti peperangan. Apabila menyebut berjuang di jalan Allah dengan apa cara sekalipun, maka, pada hakikatnya merupakan berperang melawan kezaliman ataupun perkara yang munkar.
Tapi kita perlu ingat, jangan sampai salah anggap atau tafsir, kerana Islam tidak suka kepada kekerasan apatah lagi peperangan malah Islam selalu mengajar tentang kedamaian dan kasih sayang terhadap sesama umat, sesuai dengan pengertian "Islam itu sendiri kedamaian dan keselamatan". Allah berfirman dalam Quran yang bermaksud "Tidaklah AKU mengutusmu (Muhammad), kecuali untuk membawa/menjadi rahmat keseluruh alam". Tapi, kita perlu ketahui hakikatnya, bahawa akan tiba suatu ketika, dimana dalam keadaan terdesak atau keterpaksaan, samada kita suka ataupun tidak, kita perlu berperang. Lihatlah keadaan umat Islam di merata dunia, lihatlah umat Islam di Iraq, Chechnya, Palestin dan lain-lain. Pada waktu ini, kita boleh malahan perlu berperang. Peperangan diharuskan kepada umat Islam JIKA tiada jalan lain bagi menegakkan agama Allah dan membela diri. Islam sama sekali tidak mempersetujui umatnya untuk memulakan peperangan. Memulakan peperangan sama sekali bukan perwatakkan Islam yang mencinbtakan kedamaian
Firman Allah dalam surah An-Nisa ayat 75
Yang bermaksud : Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan ugama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh)".
Surah Al-Anfal Ayat 39
وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّىٰ لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ كُلُّهُ لِلَّهِ ۚ فَإِنِ انتَهَوْا فَإِنَّ اللَّهَ بِمَا يَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
Yang bermaksud : Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah ugama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata. Kemudian jika mereka berhenti (dari kekufurannya dan gangguannya, nescaya mereka diberikan balasan yang baik) kerana sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang mereka kerjakan.
Sebelum sampai kepada peperangan (jihad dengan kekuatan dan jiwa) tentu banyak cara yang dapat kita lakukan bagi menegakkan agama Tuhan, sebab memperjuangkan agama Tuhan (jihad) tidak hanya dilakukan dalam peperangan. Peperangan hanya satu pilihan. Menurut Said Hawwa, ada lima alat yang dapat kita manfaatkan untuk berjihad, lisan, pengajaran, politik, harta dan kekuatan senjata
Kelima-lima alat itu diisyaratkan oleh Allah dan RasulNYA dalam hadis berikut
'berjihadlah terhadap orang-orang musyrik dengan harta,jiwa dan lisan kalian'
(Ahmad, Abi Daud, Al-Nasai Ibn Habban, dan Al Hakim dan Anas Bin Malik)
'sesungguhnya jihad yang paling utama adalah menyampaikan kata-kata yang adil di hadapan penguasa yang zalim.'
(abu Daud, Ibn Majah dab Abi Sa'id Al Khudri)
Surah At-Taubah ayat 122
وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ
Yang bermaksud : Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).
Jelaslah bagi kita bahawa jihad tidak tertumpu kepada peperangan, malah jihad juga turut terbahagi kepada beberapa cabang kerana jihad bermakna bersungguh-sungguh kerana Allah. Jika kita amati, perjalanan sebelum-sebelum ini, di posting-posting yang lalu juga merupakan jihad, yakni jihad dalam menuntut ilmu untuk dekatkan diri kepada Allah. Menuntut ilmu untuk mendekati Allah merupakan jihad, dan apabila kita perolehi ilmu, kita pula menyampaikan ilmu kepada orang lain, ianya juga merupakan jihad jika tujuan kita adalah untuk menegakkan agama Allah. Malah, jika kita bersedekah, yakni mempunyai harta, ianya juga boleh digunakan untuk berjihad menegakkan kalimah Tuhan dimuka bumi.
Pada suatu ketika, apabila keadaan memaksa kita untuk bertempur di medan perang, maka waktu itu tiada alasan bagi kita untuk menyabung nyawa dan turut serta dalam peperangan. Inilah kemuncak pengorbanan dalam Jihad.
Apabila maut datang menjemput sewaktu kita berjihad di jalan Allah, kematian kita menjadi kematian yang mulia. Rasulullah menyatakan "mati syahid" adalah kematian memperjuangkan agama Tuhan. Allah berfirman dalam Quran bermaksud : '(dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati)sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tiada ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita'
Oleh sebab itulah, jalan jihad yang kita tempuh menjadi sarana (alat) yang cepat dan berkesan untuk membawa kita bertemu dengan Tuhan. Kita tentu gembira kerana balasan yang disediakan oleh Tuhan adalah besar.
Maka dengan ini, sebagai umat islam, kita perlulah berjihad dalam menuntut ilmu, seterusnya menyampaikan ilmu kepada orang lain serta menyatakan bahawa, jihad tidaklah hanya tertumpu kepada peperangan, malah terdapat beberapa cabang dalam jihad. Antaranya adalah seperti yang diterangkan pada posting-posting sebelum ini, iaitu kembara dimuka bumi Allah, untuk mencari Ilmu. Pada posting akan datang, AM akan ceritakan mengenai perjalanan yang terakhir yakni, perjalanan Haji dan Umrah dimana ianya juga merupakan salah satu dari cabang jihad.
No comments:
Post a Comment