Hidup Sederhana
23 September 2011 / 25 Syawal 1432H
Sidang jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama memperteguhkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintahNya, menjauhi segala laranganNya dan mensyukuri segala nikmat kurniaanNya. Mudah-mudahan kita akan mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
Mimbar Jumaat pada hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk “Hidup Sederhana”.
Sidang jemaah yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya Allah SWT telah mengurniakan manusia dengan berbagai macam nikmat hidup di dunia. Makanan dan minuman yang enak-enak, kediaman yang tersergam indah, wang ringgit yang melimpah ruah, kenderaan yang meluncur laju, hiburan yang beraneka rupa dan seribu satu macam lagi nikmat yang dikurniakan olehNya.
Namun demikian, setiap kurniaan tersebut perlulah disyukuri dan tidak disia-siakan. Segala kurniaan seharusnya digunakan untuk jalan kebaikan, bukannya untuk kemaksiatan. Dalam masa yang sama, setiap nikmat yang Allah SWT berikan itu mestilah dinikmati dengan berpada-pada dan tidak berlebih-lebihan.
Firman Allah SWT di dalam surah Al-Furqan ayat 67:
Bermaksud: “Dan (mereka yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.”
Jelas sekali setiap kurniaan yang Allah SWT berikan kepada kita perlulah dinikmati secara sederhana. Sebagai contoh, apabila kita menjamu selera, beringat-ingatlah bahawa makan secara berlebih-lebihan akan hanya memudharatkan kesihatan kita.
Berlebih gula, garam atau makanan yang berlemak akan hanya mendatangkan masalah kencing manis, darah tinggi dan lemah jantung yang kemudiannya akan menyekat keupayaan kita untuk berbakti kepada 2 keluarga dan untuk beribadat secara sempurna kepada Allah SWT.
Begitulah juga dengan harta yang Allah SWT kurniakan, ia tidak seharusnya dibelanjakan dengan boros dan melampaui batas kerana ia akan hanya mengundang bencana.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Andainya kita antara yang bernasib baik dikurniakan harta dan kekayaan, maka seharusnya harta dan kekayaan tersebut perlulah diuruskan dengan baik supaya dapat dimanfaatkan oleh diri sendiri, kaum keluarga dan masyarakat Islam secara amnya untuk jangka masa yang panjang.
Menurut sebuah akhbar tempatan keluaran 30 Mei 2010, kajian yang dijalankan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendapati bahawa bagi 70% daripada pencarum KWSP di seluruh Malaysia yang berjumlah 12.35 juta orang, adalah dianggarkan bahawa wang simpanan mereka akan hanya dapat bertahan hingga 10 tahun sahaja selepas umur persaraan. Malah, kajian berkenaan menyebut bahawa ada pesara yang simpanannya dianggarkan hanya dapat bertahan selama 3 tahun sahaja.
Dengan jangka hayat rakyat Malaysia yang mencecah 74.4 tahun dan umur persaraan yang masih lagi di bawah paras 60 tahun, maka terfikirkah kita bagaimana untuk kita menyara hidup selama 15 tahun atau lebih selepas mencapai umur persaraan, bagi memastikan hidup kita selesa dan terpelihara nanti?
Oleh itu, semasa senang, beringat-ingatlah akan masa susah nanti. Daripada boros berbelanja, adalah lebih baik kita bersederhana dan menyimpan selebihnya untuk kegunaan dihari tua.
Sifat boros, tidak berpada-pada dan tidak berhemah apabila berbelanja yang kita tunjukkan itu akan hanya menyebabkan kaum keluarga, terutamanya anak-anak kita, kurang menghargai nikmat yang diberikan oleh Allah SWT, sekaligus menyebabkan mereka malas untuk berusaha.
Akibatnya nanti, anak-anak kita pula yang akan gagal menguruskan apa yang dikurniakan Allah SWT kepada mereka dengan baik, menyebabkan mereka akhirnya kehilangan nikmat tersebut selama-lamanya.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Mimbar ingin mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan semua umat Islam agar berpada-pada dengan jamuan-jamuan yang diadakan. Meskipun Aidilfitri sudah lama berlalu, masih ada yang melaksanakan jamuan rumah terbuka di bulan Syawal ini.
Tiada salahnya untuk menjamu dan meraikan kaum keluarga dan rakan taulan, kerana niat itu adalah niat yang baik. Namun berhati-hatilah apabila melaksanakan niat kita itu agar tidak membazir.
Janganlah pula penganjuran rumah rumah terbuka itu dijadikan perlumbaan untuk menunjuk-nunjuk rumah terbuka siapakah yang paling gah. Perbuatan sedemikian hanyalah perbuatan yang mencerminkan sifat buruk, sombong dan bongkak.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-An’am, ayat 141:
Maksudnya: “Dan dialah (Allah) yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak menjalar; dan pohon-pohon tamar (kurma) dan tanaman-tanaman yang berlainan (bentuk, rupa dan) rasanya dan buah zaiton dan delima, yang bersamaan (warnanya atau daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya). makanlah dari buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya; dan janganlah kamu melampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan); Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau.”
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Manusia sering lupa bahawa segala bentuk kekayaan dan nikmat itu datangnya daripada Allah SWT. Jika mereka teringat, pastinya mereka insaf bahawa wang, rumah, kereta, pakaian dan segala macam nikmat hanyalah pinjaman semata-mata dan tiada apa yang sepatutnya dimegah-megahkan.
Diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Abdullah bin Umar RA yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Bermaksud: “Allah tidak akan memandang orang yang memakai pakaian yang sampai menyeret ke tanah kerana sombong”
Apa yang ingin disampaikan oleh hadis itu tidak langsung menghairankan. Pastinya Allah SWT tidak akan memandang kepada orang-orang sombong itu kerana mereka lupa bahawa apa yang disombongkan itu adalah kurniaan Allah SWT jua.
Segala harta dunia yang kita miliki ini datangnya daripada Allah SWT, maka tiada gunanya kita bermegah-megah dengan nikmat-nikmat tersebut kerana kesemuanya adalah adalah sementara sahaja.
Bagi segelintir manusia, ketinggian darjat dan pangkat, serta kekayaan yang berjuta ringgit telah membuat mereka begitu sombong dan bongkak terhadap orang lain yang lebih rendah pangkatnya ataupun kurang harta bendanya berbanding mereka.
Mereka seharusnya sedar bahawa kesombongan itu sebenarnya sifat Syaitan, yang merasakan dirinya lebih baik dan lebih tinggi daripada Nabi Adam Alaihissalam. Sifat itulah yang membawa kepada kejatuhan Syaitan yang akan dibalas dengan api neraka di akhirat nanti.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Haruslah difahami bahawa Mimbar sebenarnya menasihati supaya kita bersederhana dalam menikmati segala kurniaan yang Allah SWT berikan, dan bukannya melarang terus umat Islam daripada mengecapi nikmat-nikmat tersebut.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Qashah, ayat 77:
Bermaksud: "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia”.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Menjalani kehidupan yang sederhana bukan hanya bermaksud kita perlu berpada-pada dengan apa yang kita belanjakan, tetapi ia juga bermaksud kita perlu berbelanja mengikut kemampuan. Apabila kita berbelanja mengikut kemampuan bermakna kita tidak berbelanja lebih daripada yang sepatutnya.
Akan tetapi, malang sekali ada segelintir manusia yang menuruti hawa nafsu dan telah membelanjakan lebih daripada apa yang mereka mampu, menyebabkan mereka berhutang keliling pinggang. Pelbagai Iklan menawarkan potongan hebat dan jualan murah bagi bermacam barangan dan perkhidmatan menyebabkan sesetengah Umat Islam ingin berbelanja dengan banyak tanpa berfikir panjang.
Keadaan menjadi lebih buruk lagi apabila mereka sanggup berhutang dan menggunakan kad kredit bagi memenuhi kehendak nafsu mereka itu. Namun, apabila tiba masanya untuk membayar, mereka menghadapi kesukaran kerana bayaran ansuran bulanan jauh melampaui kemampuan mereka.
Sebuah akhbar tempatan bertarikh 22 November 2010 melaporkan statistik daripada kajian CIMB Research yang menunjukkan kadar hutang tertunggak kad kredit pada bulan Oktober 2010 ialah RM29 bilion, iaitu kadar tertinggi setakat ini.
Artikel yang sama juga menyebut bahawa menurut data Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK) pula, daripada 50,361 kes yang diuruskannya, 74.5% adalah kerana masalah membayar balik hutang-hutang pembelian rumah, kenderaan dan kad kredit.
Kegagalan membayar hutang kad kredit serta hutang-hutang bank telah menyebabkan ramai diiytiharkan muflis. Malah, bebanan hutang yang terlampau beratlah yang telah menyebabkan ada insan yang membunuh diri dan beberapa pasangan suami isteri dilaporkan bercerai kerana pergaduhan yang berpunca daripada bebanan hutang.
Justeru, Umat Islam adalah sentiasa dinasihatkan untuk berwaspada, bersederhana dan tidak menuruti hawa nafsu. Mereka perlu mengawal diri dan tidak menuruti hawa nafsu.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kesimpulan yang dapat kita ambil daripada khutbah pada hari ini ialah:
Pertama: Tiada gunanya menyombong dan meninggikan diri kerana segala nikmat di dunia adalah kurniaan Allah SWT semata-mata. Sombong dan bongkak adalah sifat-sifat Syaitan.
Kedua: Nikmat yang dikurniakan Allah SWT perlulah digunakan untuk jalan kebaikan dan dengan berpada-pada kerana amalan berlebih-lebihan akan hanya membawa kepada kemudharatan.
Ketiga: Berbelanjalah mengikut kemampuan. Perbelanjaan yang berhemah akan menjamin kehidupan yang selamat dan harmoni.
Firman Allah SWT di dalam Surah saba ayat 34:
Bermaksud: “Dan kami tidak mengutuskan kepada sesebuah negeri seseorang rasul pemberi amaran melainkan orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata: “Sesungguhnya kami tetap mengingkari apa yang kamu diutuskan membawanya”.
Klik Untuk Muat Turun Teks Khutbah Jumaat
http://bit.ly/oCDyjN (Rumi)
http://bit.ly/qroFMs (Jawi)
No comments:
Post a Comment