Salam Alaikum

BismillÃh HirRohmaanir Rohimm

Kata Hikmah AM

~~~... aku BERANI kerana BENAR, lalu aku tidak GENTAR. aku bukan JEBAT, dan aku bukanlah juga TUAH. tetapi, aku adalah hamba doif yang bergelar KHALIFAH di muka bumi ALLAH ...~~~


biar orang hina diri kita tapi jangan kita hina diri sendiri, biar orang lukakan hati kita, jangan kita sesekali melukai diri sendiri, kita berhak atas diri kita sesungguhnya air mata itu adalah penyampai perasaan dan luahan jiwa..

yA AllAh, ApAbIlA ENGKAU mEmAnggIlkU, AmbIlAh AkU dAlAm kEAdAAn KhUsnUl KhOtImAh dAn sEmpAtkAnlAh AkU mEngUcApkAn kAlImAt "LA ILAHA ILLALLAH"

Ahli Jemaah

Network Blogger

Demi Masa

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Dan Penyayang

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Segala hakcipta milik Allah S.W.T. Jika difikirkan perlu copy dan sebar, silakan. Tak perlu minta izin.

There’s No Copyright In Islam

Saturday, March 20, 2010

CERITA TAULADAN


Lapang benar dada Pak Uwei bila pegawai yang bertugas di kaunter pejabat

Tabung Haji itu memberitahu nama dia dan isterinya turut tersenarai dalam

senarai jemaah yang akan menunaikan fardhu haji pada tahun ini.

"Tapi pak cik kena bayar segera bahagian mak cik yang masih tak cukup tiga

ribu lagi tu. Selewat-lewatnya minggu depan bayaran mesti dibuat," beritahu

pegawai itu lagi.

"Insya Allah encik. Saya akan bayar seberapa segera," janji Pak Uwei.

Berita gembira itu ingin segera dikongsi bersama isteri kesayangannya.

Sebaik keluar dari pejabat Tabung Haji dia terus balik ke rumah.

"Pah...oo..Pah!" teriak Pak Uwei sebaik turun dari keretanya.

"Apa bendanya terlolong-lolong ni bang?" tanya Mak Pah.

"Ada berita baik ni Pah, nampaknya hajat kita nak ke Mekah tahun ini akan

tertunai. Insya Allah dua bulan lagi kita akan ke sana. Tak sabar betul

saya, rasa macam Kaabah tu dah melambai-lambai," cerita Pak Uwei dengan

wajah berseri-seri.

"Betul ke ni bang? Baru semalam si Johari beritahu dia dengan Minah tak

dapat pergi. Namanya tidak ada dalam senarai."

"Betullah Pah oii...saya ni baru je balik dari pejabat Tabung Haji. Cuma

duit bahagian awak tu kena bayar segera selewat-lewatnya minggu depan."

"Mana kita nak cari duit banyak tu bang? Tiga ribu tu bukan sikit, itu pun

lepas duit tambang. Duit kocek mau juga sekurang-kurangnya dalam seribu."

Mak Pah merenung gusar wajah suaminya.

"Alah Pah, kita mintalah tolong dengan Muaz dan Balkis. Takkanlah mereka

tak nak beri. Bukannya banyak, cuma dua ribu seorang saja." Wajah Pak Uwei

semakin berseri-seri. Dia yakin anak- anaknya yang dua orang itu tidak akan

menghampakan harapannya.

"Lusa hari minggu, saya nak suruh budak-budak tu balik boleh kita

berunding," cadang Pak Uwei. "Kalau tak cukup bahagian saya tu, awak ajelah

yang pergi dulu. Tak elok kita menyusahkan anak-anak bang, lagipun apa pula

kata menantu kita nanti

nak ke Mekah minta duit anak-anak." Mak Pah tidak bersetuju dengan

rancangan Pak Uwei.

"Pah... Muaz dan Balkis tu kan anak-anak kita. Kita dah besarkan mereka,

hantar belajar tinggi-tinggi takkan nak hulur dua ribu pun tak boleh

lagipun selama ni kita tak pernah minta duit mereka. Tak usahlah awak

bimbang Pah, saya yakin anak-anak kita tu tak akan menghampakan kita kali

ni." Yakin benar Pak Uwei, harapan yang menggunung digantungkan kepada

anaknya. "Tapi bang..."

"Dahlah...pegi siapkan kerja awak tu, tak usah nak risau tak tentu hala.

Saya nak telefon budak-budak tu," pintas Pak Uwei sebelum Mak Pah

melahirkan kebimbangannya. Lega hati Pak Uwei bila Muaz menyatakan yang dia

akan pulang kemudian Pak Uwei menelefon Balkis pula di pejabatnya. Dia

hanya menyuruh mereka balik tanpa memberitahu hajatnya.

"Insya Allah Kis balik nanti abah. Emm...abah nak Kis suruh Intan balik

sama?" tanya Balkis.

"Ikut suka kaulah, bagi abah yang pentingnya kau dan Muaz. Intan tu ada ke

tidak ke, sama aje. Balik ya...," balas Pak Uwei.

Bukan dia membeza-bezakan anak-anaknya tapi hati tuanya cepat benar panas

bila berhadapan dengan Intan. Sikap degil dan tak mahu mendengar kata

anaknya itu menyebabkan dia geram. Sudahlah malas belajar tidak seperti

Muaz dan Balkis yang berjaya memiliki ijazah. Kalau ditegur sepatah,

sepuluh patah tidak menjawab. Masih Pak Uwei ingat gara-gara sikap keras

kepala Intan untuk bekerja kilang mereka bertengkar besar tiga tahun lalu.

Kini hubungan mereka seperti orang asing.

"Abah tak setuju kau nak kerja kilang kat KL tu. Abah mahu kau sambung

belajar lagi." Pak Uwei tidak bersetuju dengan niat Intan yang hendak

bekerja kilang.

"Intan dah tak minat nak belajar lagi abah, biarlah Intan kerja kilang.

Kerja kilang pun bukannya haram." bantah Intan menaikkan darah Pak Uwei.

"Aku suruh kau belajar kau tak nak, kau nak kerja kilang. Kau tak tengok

berapa ramai anak gadis yang rosak akhlak kerja kilang duk kat KL jauh dari

mak bapak, bolehlah buat apa yang kau sukakan. Kau nak bebas macam tu?"

"Itulah abah, selalu nampak yang buruk aje. BUkan semua yang kerja kilang

duk kat KL tu jahat abah. Kerja apa dan kat mana pun sama aje, pokok

pangkalnya hati. Kalau nak buat jahat dalam rumah pun boleh abah." Intan

cuba membuat abahnya faham.

"Kenapalah kau seorang ni lain benar dari abang dan kakak kau. Cuba kau

tengok Balkis tu tak pernah dia membantah cakap macam kau ni!"

"Intan memang tak sama dengan Kak Balkis abah, Intan suka berterus terang

kalau tak kena Intan cakap depan-depan bukan membebel kat belakang," balas

Intan selamba menyemarakkan bara dalam dada abahnya.

"Anak tak mendengar kata, ikut suka kaulah. Kalau kau nak pergi, pergi...

aku dah tak larat nak larang. Nak terlentang ke, telangkup ke, gasak

kaulah.

Kau buat apa yang kau suka, aku tak nak ambil tahu lagi!" Sejak kejadian

itu Pak Uwei memang tidak memperdulikan langsung apa yang Intan nak buat.

Namun begitu Intan tetap pulang setiap kali cuti, dia bersikap selamba

biarpun abahnya tidak memperdulikannya. Intan selalu menghulur duit tapi

hanya kepada maknya sahaja. RIANG hati Pak Uwei bukan kepalang bila

anak-anaknya pulang, tambahan pula dia sudah rindu dengan cucu-cucunya.

Malam itu selesai menikmati makan malam dan berjemaah sembahyang Isya`,

mereka duduk berborak di ruang tamu.

"Sebenarnya ayah suruh kau orang balik ni ada hajat sikit," Pak Uwei

memulakan bicara. "Hajat apa pula abah?" tanya Muaz yang duduk di

sebelahnya.

"Abah dan mak kau nak ke Mekah, nama dah ada dalam senarai. Memandangkan

bahagian mak kau masih belum cukup lagi abah nak minta kau dan Balkis bantu

sikit. Tak banyak, dua ribu seorang cukuplah," Pak Uwei mengutarakan

hasratnya.

"Boleh tu boleh abah, tapi kena tunggu sebulan dua lagi. Az baru aje

keluarkan wang simpanan buat duit muka beli rumah. Sebulan dua lagi

bolehlah Az ikhtiarkan," ujar Muaz. "Tapi...pegawai Tabung Haji tu minta

bayaran dibuat segera selewat-lewatnya minggu depan." "Kalau dalam

seminggu dua ni abah, memang rasanya tak dapat. Paling tidak pun cukup

bulan ni. Nak cukupkan duit muka tu pun habis duit simpanan budak-budak ni

Az keluarkan," jawab Muaz serba salah.

"Kau beli rumah lagi, rumah yang ada tu kau nak buat apa?" tanya Pak Uwei

melindungi kekecewaannya.

"Rumah baru tu besar sikit abah. Selesalah buat kami sebab budak-budak tu

pun dah besar masing-masing nak bilik sendiri. Lagipun beli rumah tak rugi

abah, pelaburan masa depan juga," sampuk Mira isteri Muaz. Pak Uwei

terdiam, harapannya kini cuma pada Balkis.

"Kamu macam mana Kis, boleh tolong abah? Nanti abah bayarlah balik duit

kamu tu bila ada rezeki berbuah durian kat dusun kita tu nanti," Pak Uwei

berpaling pada Balkis.

"Kis pun rasanya tak dapat nak tolong abah. Kis baru aje keluarkan duit

simpanan buat menambah modal perniagaan abang Man. Tengah gawat ni faham

ajelah... ni tak lama lagi nak bersalin nak pakai duit lagi." Hancur

berderai rasa hati Pak Uwei mendengar jawapan Balkis.

"Man bukan tak nak tolong abah. Kalau nak pinjam duit kad kredit boleh.

Tapi yelah kata orang kalau nak ke Mekah ni tak elok pakai duit pinjaman."

"Betul kata Man tu abah. Kalau nak ke Mekah mesti dengan kemampuan sendiri

baru elok," sokong Muaz. Kata-kata Azman dan Muaz bagaikan sembilu yang

menikam dada Pak Uwei. Bila dia bertemu pandang dengan Intan, Pak Uwei

terasa bagai ditertawakan oleh Intan bila kedua anak yang diharap-harapkan

menghampakannya.

"Tak apalah kalau kau orang tak ada duit. Biarlah abah kau pergi seorang

dulu, nanti kalau ada rezeki mak pula pergi," Mak Pah bersuara cuba

meredakan keadaan. "Kalau nak pergi sendiri dah lama saya pergi Pah. Tak

payah saya tunggu

lama-lama. Kalau awak tak pergi biarlah kita sama-sama tak pergi...dah tak

ada rezeki kita nak buat macam mana?" Pak Uwei bangun masuk ke bilik

meninggalkan anak-anaknya dengan rasa kesal. Intan tahu abahnya benar-benar

kecewa. Walaupun orang tua itu tidak menunjukkan rasa kecewanya tapi Intan

faham kecewa abahnya teramat sangat kerana tidak menduga anak-anak yang

selama ini disanjung akan mengecewakannya begitu.

"Anak awak tu tak balik ke?" tanya Pak Uwei pada Mak Pah bila Intan tidak

turut serta balik bersama abang dan kakaknya.

"Tak, katanya cuti sampai hari Rabu nanti," balas Mak Pah sambil mencapai

kain selendangnya. "Nak ke mana pulak tu?" tanya Pak Uwei melihat Mak Pah

bersiap-siap. "Nak ke kedai Long Semah tu nak belikan anak saya kuih lepat

ubi kegemarannya." Sengaja Mak Pah menekan suara bila menyebut anaknya.

Bukan sekali dua dia menegur sikap Pak Uwei yang gemar membeza-bezakan

anak. PAGI Isnin tu selepas bersarapan Intan bersiap-siap hendak keluar.

"Nak ke mana Intan pagi-pagi lagi dah bersiap ni?"

"Intan ada hal sikit kat bandar mak. Intan pergi dulu ye."

"Kalau nak ke bandar suruhlah abah kau tu hantarkan," suruh Mak Pah.

"Tak payah mak, Intan nak pergi banyak tempat ni. Nanti bising pula abah

tu. Intan pergi dulu." Mak Pah menggeleng memerhatikan Intan berlalu.

Kadangkala sedih hatinya melihat sikap suaminya yang keras hati membuat

anaknya itu

menyisihkan diri. Ketika Intan pulang dari bandar tengah hari itu mak dan

abahnya sedang menikmati juadah tengah hari.

"Kau ni Tan buat benda apa lama benar kat bandar tu? Mari makan sama. Ni

abah kau ada beli ikan baung salai, mak masak lemak cili api."

"Ingat lagi abah lauk kegemaran Intan rupanya," usik Intan tak bertangguh

mencapai pinggan. "Mak bapak memang tak pernah lupakan anak-anak, cuma

anak-anak aje yang lupakan mak bapak," jawab Pak Uwei sinis. Intan

tersenyum pahit.

Selesai mengemas pinggan mangkuk, Intan menunaikan solat Zohor kemudian dia

mendapatkan mak dan abahnya yang sedang duduk di ruang tamu. Abahnya sedang

membaca suratkhabar. Mak Pah pula melipat kain.

"Mak, abah... Intan ada hal sikit nak cakap ni...," ujar Intan menghampiri

mereka. Pak Uwei menurunkan suratkhabar yang dipegangnya kemudian

menanggalkan cermin mata yang digunakan untuk membaca.

"Apa hal... kamu nak kahwin ke?" soal pak Uwei merenung Intan. Tawa Intan

meledak tiba-tiba mendengar soalan abahnya. Melihat Intan tergelak besar

Pak Uwei turut tertawa. Mak Pah pun tergelak sama, riang rasa hatinya

melihat kemesraan yang hilang dulu mula menyatu. "Abah ni... ke situ

pulak...." "Habis tu?" "Ini... kad Tabung Haji mak. Tadi Intan ambil dalam

laci tu. Yang ni resit memasukkan duit ke akaun mak. Semuanya Intan dah

uruskan. Dan ini dua ribu untuk buat duit kocek mak dan abah. Yang dua

ratus lagi ni untuk buat kenduri doa selamatsebelum berangkat nanti." Intan

memasukkan duit itu dalam

genggaman Pak Uwei. "Apa??" Pak Uwei terkejut matanya merenung Intan dan

duit di tangannya bagai tidak percaya.

"Ini duit simpanan Intan sejak mula bekerja dulu. Duit hasil titik peluh

Intan yang halal abah, terimalah. Selama ini Intan banyak kali kecewakan

abah. Intan tak pernah dapat membahagiakan hati abah. Selama ini pun Intan

selalu sangat rasa kalah pada abang Az dan Kak Balkis. Intan tak cantik dan

baik macam Kak Balkis, apatah lagi bijak seperti mereka. Intan tahu abah

selalu kecewa dengan Intan. Hanya kali ini Intan dapat tunaikan hasrat

abah.

Dah banyak kali abah tangguhkan hasrat nak naik haji. Dulu kerana Kak

Balkis nak kahwin, lepas tu mak pula tak sihat. Sekarang ni masa yang

sesuai. Intan harap abah sudi terima pemberian Intan," tutur Intan perlahan

memerhatikan

airmata menuruni pipi abahnya yang sudah berkedut dimamah usia. "Terima

kasih Intan. Malu rasanya abah nak ambil duit kamu... dulu abah selalu

bangga dengan Balkis dan Muaz yang memegang jawatan tinggi tapi akhirnya

anak abah yang kerja kilang yang membantu abah," luah Pak Uwei sambil

mengesat airmata terharu atas keluhuran hati anak yang selama ini

dimusuhinya. "Sudahlah abah. Yang lepas itu tak usahlah kita ungkit-ungkit

lagi. Intan

gembira abah sudi terima pemberian Intan."

"Pemberian kau ni terlalu terlerai bagi abah dan mak kau Intan...," ujar

Pak Uwei. Intan peluk abahnya erat. "Hah... tulah, jangan suka

memperkecil-kecilkan anak saya ni," Mak Pah mengusik Pak Uwei sambil

mengesat airmata penuh kesyukuran.

"Mak ni...," gelak Intan memandang abahnya yang tersengih.

MASA yang ditunggu-tunggu tiba dalam keriuhan sanak saudara yang datang

menziarahi Pak Uwei dan Mak Pah. Intan memerhati dengan perasaan gembira

bercampur hiba.

"Semua dah siap ke mak?" tanya Intan menjenguk ke bilik emaknya

memerhatikan Mak Pah mengisi barang keperluan semasa di Mekah. "Dah

rasanya... ada apa-apa yang Intan nak pesan mak belikan di sana nanti?"

"Tak ada mak. Mak janganlah fikir soal apa yang nak dibeli mak. Yang

penting mak dapat menunaikan ibadah dengan sempurna."

"Hah, awak dengar tu...kita ni nak pergi menunaikan ibadah bukan nak

membeli-belah," tambah Pak Uwei yang turut mendengar perbualan dua-beranak

itu.

"Intan tak nak mak dan abah belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu yang

Intan mahu, doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat," pesan Intan sambil

memeluk emaknya. Mak Pah dan Pak Uwei berpandangan. Tiba-tiba sebak dengan

permintaan Intan itu.

HANYA dua jam lagi kapal terbang akan mendarat di tanah air. Pak Uwei

mengerling Mak Pah yang lena di sebelahnya. Dalam keriangan telah

menunaikan ibadah haji tanpa sebarang kesulitan terselit rasa tidak sedap

di hati. Perasaan rindu pada anak-anak terutama Intan bagai menyentap

tangkai hatinya. Pak Uwei terkenangkan mimpinya bertemu Intan di tanah

suci. Intan tidak berkata sepatah pun tapi bagai memberitahu yang dia akan

pergi jauh.

"Kenapa resah aje ni bang?" Mak Pah terjaga.

"Entahlah Pah, saya teringat sangat dengan Intan dan anak-anak kita."

"Sabarlah dah nak sampai dah ni," pujuk Mak Pah.

Dari jauh lagi Pak Uwei sudah melihat Muaz dan Azman menanti mereka.

"Mak... abah...," Muaz meraih emaknya dalam pelukan dan kemudian abahnya

tanpa dapat menahan airmata menitis laju.

"Mana yang lain ni, kamu berdua aje?" Pak Uwei tertinjau-tinjau mencari

wajah Intan. "Mereka menanti di rumah, abah," beritahu Azman suami Balkis

sambil mencium tangan Pak Uwei. "Intan pun tak datang juga ke?" tanya Pak

Uwei terasa hampa. "Awak ni... kan Man dah kata mereka menunggu di rumah."

Mak Pah menggeleng, dua tiga hari ini nama Intan tak terlepas dari mulut

suaminya. Perjalanan tiga jam dari KLIA untuk sampai ke rumah terasa begitu

lama oleh Pak Uwei. Mak Pah yang melihat kegelisahan suaminya turut berasa

bagai ada yang tak kena. "Dua tiga malam sebelum balik, abah kau mengigau

terjerit-jerit dia panggil nama Intan. Kalau Intan dengar cerita ni tentu

dia gelihati." cerita Mak Pah pada Muaz dan Azman. Muaz mengerling Azman

yang sedang memandu.

"Tentulah abah ingatkan Intan, sebab Intan yang bagi dia duit," balas Muaz

cuba bergurau walaupun terasa sayu. "Tapi abah rasa macam ada yang tak kena

aje Az, dalam mimpi abah tu abah nampak Intan macam nak beritahu dia nak

pergi jauh. Tapi dia tak bercakap pun hanya renung abah. Intan tak ada

cakap apa-apa dengan kau Az?" "Err... tak ada abah. Kita berhenti minum

dulu abah, tentu mak haus," ajak Azman.

"Tak payah, dah dekat ni. Abah tak sabar nak balik," tolak Pak Uwei. Azman

dan Muaz hanya berpandangan.

SEBAIK turun dari kereta, Balkis meluru memeluk mereka dengan tangisan.

Suara Pak Long Basri yang bertakbir menambah sayu. Semua yang ada

menitiskan air mata.

"Mak dengan abah sihat ke?" tanya Mira setelah bersalaman dengan ibubapa

mentuanya. "Sihat, cuma batuk-batuk aje sikit. Intan mana, dia tak balik

ke?" Mak Pah mula berdebar bila Intan tidak kelihatan. "Naik dulu

Ngahnya...," suruh Long Semah.

"Intan mana?" Pak Uwei mula hilang sabar bila tak seorang pun memberitahu

di mana Intan. Pantas dia memanjat tanggu menuju bilik Intan. Matanya

terpaku pada bekas baru yang terletak di sebelah katil yang bercadar kain

batik lepas. Dadanya bergetar.

"Az... mana Intan? Mana adik kau Az?" tanya Pak Uwei dengan suara yang

menggeletar. Badannya terasa lemah, dia berpaut pada tepi pintu. "Sabar

abah...," Muaz menggosok belakang abahnya.

"Kenapa Az...kenapa?" Mak Pah menurunkan Syazwan cucunya dari pangkuan dan

melangkah laju ke bilik Intan.

"Mak... Intan dah tak ada mak," Balkis tersedu memeluk emaknya yang

terduduk lemah.

Pak Uwei terkulai tak bermaya menerima berita itu. Mak Pah terus pengsan.

Bila dia terjaga dia melihat anak menantu mengelilingnya. Pak Uwei duduk di

tepi kepalanya. "Sabarlah Ngah, ini dugaan Allah pada kita. Intan pergi pun

dalam keadaan tenang. Barangkali kerana hajatnya nak lihat kamu naik haji

dah tertunai," pujuk Long Semah yang masih belum pulang.

"Intan ada tinggalkan surat untuk kita. Dia memang dah tahu dia tak akan

hidup lama. Rupa-rupanya dia menghidap barah otak. Dia minta maaf segala

salah silap dan berpesan supaya kita jangan sedih atas pemergiannya. Dia

minta kita doakan dia," Pak Uwei menepuk lembut bahu Mak Pah yang tersedu.

"Bila dia meninggal? Siapa yang mengadap masa nazaknya?" tanya Mak Pah.

"Kami semua ada mak. Dia begitu tabah menanti detik kematiannya mak.

Sebenarnya dia ajak kami balik ini, katanya nak kemaskan rumah. Mak dan

abah nak balik. Masa sampai tu dia sihat lagi tiba-tiba malam Khamis tu

lepas solat Isya` dia sakit kepala teruk sampai tak boleh bangun. Az nak

hantar ke hospital tapi katanya masa dia dah tiba. Masa tulah baru dia

ceritakan sakitnya. Dia meninggal subuh hari Jumaat mak... tiga hari lepas.

Dia pergi dalam keadaan yang cukup tenang mak," cerita Muaz.

Mak Pah mengenggam erat tangan suaminya, terkenangkan bagaimana Intan

memeluk erat mereka sebelum melepaskan pemergian mereka. Dan ketika itu

bagai terdengar-dengar suara Intan berpesan,"Intan tak nak mak dan abah

belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu yang Intan mahu, mak dan abah

doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat.."

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...