Fahami punca masalah
Fahami betul-betul sebab-sebab yang menyebabkan anda
menjadi kecewa. Selagi
anda tidak benar-benar pasti punca yang menyebabkan
anda kecewa, pastilah
sukar untuk anda mencari jalan keluar dari ekekcewaan
tersebut. Adalah
lebih mudah untuk mengatasi sesuatu perkara yang kita
sendiri faham. Oleh
itu setelah betul-betul memahami punca-puncanya, maka
mudahlah kita untuk
cuba mencari jalan keluar daripada masalah itu.
Fahami perasaan anda
Perasaan kecewa yang kita alami adalah umpama mimpi.
Kadangkala ianya
kurang berasas dan tidak bertapak. Oleh itu kenali
benar-benar perasaan
kita yang sebenarnya itu. Cuba hayati tekanan yang
kita hadapi itu. Apabila
kita mengetahui sifat sebenar perasaan kecewa kita
itu, maka barulah mudah
untuk kita cuba melakukan sesuatu untuk mengatasinya.
Ikhlas dengan perasaan sendiri
Jangan cuba menipu perasaan sendiri. Ini kerana
kadangkala kita berasa
kecewa bukan pada tempatnya. Misalnya, seseorang itu
mungkin berasa kecewa
kerana rakannya lebih berjaya dalam peperiksaan. Tapi
sebenarnya dia kecewa
kerana rakannya itu juga adalah lebih cantik darinya.
Malah kekecewaan
kerana kurang cantik itu jauh lebih mengatasi
kekecewaan kerana prestasi
yang kurang baik dalam peperiksaan. Dalam hal ini,
kita sengaja
menokok-tambah beban-beban kekecewaan itu. Oleh itu
cuba ikhlas dengan
perasaan sendiri. Cuba fokuskan punca sebenar
kekecewaan. Apabila kita
teliti dengan hati yang tenang, mungkin kita akan
berasa bahawa punca
sebenar kekecewaan itu adalah tidak berasas.
Fahami punca-punca kekecewaan
Cuba cari punca asas kita berasa kecewa dan cuba
fahami benar-benar keadaan
sebenar punca-punca itu. Tanya persoalan berikut:
adakah punca-punca itu
tidak akan dapat diatasi? akan sentiasa berulang? akan
berulang jika tidak
melakukan sesuatu? salah diri sendiri? dianiaya? tidak
akan berlaku lagi?
Bolehkah berlaku lagi atau dielakkan terus?
Setelah memahami punca sebenar kekecewaan, dan
sifat-sifat perkara yang
menyebabkan kita kecewa itu, cuba fikirkan sama ada
kekecewaan itu boleh
disekat daripada berlaku lagi atau tidak? Sekiranya
kita dapat membuat
kesimpulan bahawa kekecewaan itu mungkin boleh
dihindari pada masa-masa
akan datang, maka ini bermakna kita sentiasa masih
mempunyai harapan.
Apakah cara untuk mengatasi kekecewaan?
Ini adalah antara ubat kekecewaan. Apabila kita rasa
kita sudah mahu
bertindak untuk mengatasi kekecewaan, kita sebenarnya
telah berjaya, iaitu
berjaya dalam perjuangan untuk menguasai diri kita.
Sebaliknya juga,
apabila kita gagal memulakan langkah-langkah ke arah
mengubati hati luka
itu, selagi itulah kita dianggap masih gagal. Lantaran
itu cuba atasi
kekecewaan tersebut. Antaranya adalah:
Menumpukan perhatian kepada aktiviti lain yang lebih
berfaedah.
Melupakan kekecewaan tersebut dan menanam tekad baru
untuk tidak kecewa lagi.
Meluahkan perasaan kepada orang yang kita percayai
Minta nasihat orang lain
Cuba minta nasihat daripada orang lain yang kita
hormati atau segani.
Jangan minta nasihat dari orang yang kita benci atau
orang yang selalu
sakitkan hati kita. Dalamk kata lain, jangan tambah
penyakit. Tidak kiranya
apa nasihatnya, namun biasanya kesediaan orang lain
itu memberi nasihat pun
sudah cukup untuk melegakan perasaan kita.
Jangan manjakan perasaan
Jangan terlalu dibawa oleh perasaan. Perasaan kita
kalau dilayan sangat
memang semakin menjadi. Oleh itu janganlah dilayani
perasaan kekecewaan itu
sepanjang masa. Cuba keluar dari alam kekecewaan itu.
Cuba lakukan aktivi
lain yang dapat mengalihkan pemikiran anda dari
masalah yang menimbulkan
rasa kecewa itu. Bercampurlah dengan rakan-rakan yang
lain dalam aktiviti
luaran. Secara beransur-ansur, kita akan dapat
melupakan perasaan kecewa
itu. Walaupun kita akan memikirkannya semula setelah
balik ke rumah, namun
tahap kekecewaan itu pasti akan berkurangan.
Luahkan perasaan, jangan disimpan
Perasaan kecewa samalah seperti tekanan perasaan.
Perasaan ini perlu
diluahkan. Kajian sains menunjukkan bahawa perasaan
tekanan yang disimpan
dalam diri akan membentuk toksin. Oleh itu perasaan
tersebut perlulah
diluahkan. Lain orang menggunakan cara yang tersendiri
untuk meluahkan
perasaan. Ada yang menghempuk meja. Ada yang menangis.
Ada yang menjerit
kuat-kuat. Ada yang mencoretkan rasa hatinya dalam
diari kesayangannya.
Walau apa pun yang dilakukan, perasaan tekanan itu
akan sedikit berkurangan
setelah diluahkan. Namun cara yang terbaik untuk
meluahkan perasaan adalah
dengan menceritakannya kepada orang yang dapat
memahaminya dan dapat pula
memberi kita jalan keluar kepada masalah tersebut.
Orang yang dimaksudkan
ini termasuklah cikgu, kaunselor, emak. kakak atau
rakan-rakan yang kita
rasa cukup dewasa dan cukup memahami kita.
Biar pemikiran beransur-ansur mengatasi perasaan
Cuba menenangkan perasaan sehingga perasaan yang
menguasai diri kita mula
diatasi oleh pemikiran. Apabila pemikiran (otak) mula
mengatasi perasaan
(hati) maka mudahlah untuk kita mula melihat jalan
yang lebih lurus dan
bertapak di bumi nyata. Malah kalau anda beruntung,
anda tidak perlu
mencari jalan untuk mengatasinya lagi kerana pemikiran
rasional anda telah
mengatasi rasa kecewa itu.
Tiada jalan pendek atasi kekecewaan
Ingatlah bahawa tiada jalan pintas untuk berjaya.
Malah kejayaan yang manis
itu perlu mengharungi pelbagai ranjau. Oleh itu anda
perlu faham bahawa
jalan-jalan yang anda akan lalui untuk mengelakkan
daripada berlaku lagi
kekecewaan itu memerlukan masa yang cukup untuk
dilaksanakan. Adakalanya
langkah-langkah tersebut adalah berperingkat-peringkat
dan hanya akan
membuahkan hasil dalam jangka panjang juga. Misalnya,
pokok yang ditanam
tidak akan berbuah esok pagi! Sekiranya ini difahami,
maka dapatlah kita
menghindari kekecewaan berganda iaitu kecewa kerana
langkah-langkah yang
dijalankan kurang memberi hasil. Banyak bersabar.
Ingat pepatah Melayu Ikut
rasa, binasa. Ikut hati, mati. Ikut nafsu, lesu. Ikut
perasaan? Boleh
pengsan! Oleh itu apabila kita telah tenang, ikutlah
akal supaya kita jadi
cekal.
Bertawakal
Bertawakal bermakna menyerahkan segala nasib kepada
Allah setelah kita
melakukan apa yang terdaya. Nabi Muhammad s’a.w
memberi contoh supaya
menambat unta dan selepas itu bertawakal. Ini bermakna
jika unta itu tidak
diikat, bertawakal pun tak guna. Dalam kes untuk
menghindari kekecewaan
ini, kita pasrah kepada nasib hanya setelah kita
melakukan segala usaha
yang kita rasa mencukupi. Apabila kita yakin dengan
tawakal kita itu, maka
kita tidak akan kecewa lagi apabila mengalami
kegagalan. Ini kerana kita
yakin bahawa semuanya itu adalah ketentuan Allah dan
adalah hikmahnya.
Tanam keyakinan diri
Kekecewaan sering timbul dan berlarutan apabila kira
kurang mempunyai
keyakinan diri. Apabila kita kalah misalnya, kurang
keyakinan diri
menyebabkan kita rasa yang kita akan sentiasa kalah
lagi. Ini menyebabkan
kekecewaan kita sentiasa meningkat walaupun puncanya
adalah satu sebab.
***
wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment